RUU ‘One Big, Beautiful’ tak seindah nama

RUU ‘One Big, Beautiful’ tak seindah nama

WASHINGTON – Pakej pemotongan cukai kontroversi dicadangkan Presiden Donald Trump melepasi halangan terakhir selepas ia mendapat lampu hijau Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Kemenangan berpihak kepada Trump setelah rang undang-undang (RUU) setebal 869 muka surat itu memperoleh 218 undi sokongan manakala 214 menolak di dewan yang dikawal Parti Republikan (GOP).

Anggota GOP dikatakan tergesa-gesa meluluskan RUU tersebut demi memenuhi tarikh akhir ditetapkan Presiden ke-47 tersebut yang mahu dokumen itu diserahkan kepadanya sebelum cuti Hari Kemerdekaan pada 4 Julai selepas ia diluluskan Senat dengan 51-50 undi sokongan pada Selasa lalu.

Keputusan itu bagaimanapun tidak disenangi banyak pihak kerana bakal menambah AS$3.4 trilion (RM14.4 trilion) kepada hutang negara yang berjumlah AS$36.2 trilion (RM153 trilion).

Anggota Demokrat juga menentang RUU digelar ‘One Big, Beautiful’ tersebut kerana hanya memberi manfaat besar kepada golongan kaya manakala kira-kira 17 juta individu tidak lagi mendapat perlindungan insurans.

“Ia hanya bertujuan untuk memberi pelepasan cukai yang besar kepada golongan bilionair,” ujar Pemimpin Minoriti Demokrat di Dewan Perwakilan AS, Hakeem Jeffries menerusi ucapannya yang berlangsung selama lebih lapan jam iaitu paling lama dalam sejarah.

RUU yang tidak ‘seindah namanya’ itu juga tidak popular dalam kalangan orang ramai setelah keputusan tinjauan dilakukan Quinnipiac University pada akhir Jun lalu menunjukkan 55 peratus responden menolak pakej tersebut kerana ia ternyata memberi impak besar kepada program sosial dan kesihatan. – Agensi

INFO: Perkara utama di bawah pakej kontroversi Trump

Cukai

– Potongan cukai pendapatan diluluskan ketika penggal pertama pentadbiran Trump dikekalkan.

– Potongan cukai untuk pendapatan hasil tip dan bayaran gaji lebih masa (ikrar utama kempen Trump), tetapi hanya sehingga 2028.

– Potongan cukai negeri dan tempatan (SALT) dinaikkan empat kali ganda secara sementara.

Dasar antipendatang

– AS$46.5 bilion (RM196 bilion) untuk infrastruktur sempadan termasuk pembinaan tembok pemisah.

– AS$45 bilion (RM190 bilion) untuk membangunkan kemudahan tahanan migran tambahan dengan kapasiti 100,000 katil.

– Dana baharu untuk merekrut 10,000 anggota Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen (ICE).

– Mengenakan denda baharu terhadap pemohon suaka dan pendatang haram.

Pemotongan tenaga bersih

– Hentikan subsidi persekutuan untuk projek tenaga angin dan solar baharu jika ia tidak memasuki perkhidmatan sebelum 2028 atau jika pembinaan bermula lebih daripada satu tahun selepas penggubalan rang undang-undang.

– Tamatkan kredit cukai AS$7,500 (RM31,672) untuk pembelian kenderaan elektrik (EV) selepas 30 September depan yang turut cetuskan kemarahan pemilik Tesla, Elon Musk.

Had hutang

– Naikkan had pinjaman negara kepada AS$5 trilion (RM21.1 trilion) yang sukar diterima segelintir anggota Republikan (GOP) yang tegas dalam hal fiskal.

Program jaringan keselamatan, kesihatan wanita

– Wujudkan sekatan baharu terhadap kebajikan golongan miskin dan orang kurang upaya, khususnya program insurans kesihatan Medicaid dan program bantuan makanan SNAP.

– Menghendaki individu berusia di bawah 65 tahun yang sihat tubuh badan dan tiada anak kecil bekerja sekurang-kurangnya 80 jam sebulan untuk terima manfaat Medicaid atau SNAP

– Sekat pembiayaan pertubuhan kesihatan wanita, Planned Parenthood.

Peruntukan lain

– Cipta akaun simpanan untuk bayi baru lahir dengan deposit sebanyak AS$1,000 (RM4,223) digelar ‘Akaun Trump’.

– Inisiatif pertahanan misil Golden Dome dicadangkan Trump bakal mendapat dana AS$25 bilion (RM105 bilion). Jabatan Pertahanan bakal peroleh peruntukan berjumlah AS$150 bilion (RM633 bilion).

– Program angkasa lepas mendapat rangsangan dengan AS$10 bilion (RM42 bilion) untuk misi ke Marikh dan AS$325 juta (RM1.4 bilion) bagi tamatkan perkhidmatan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

– Cipta cukai baharu ke atas dana amanah universiti-universiti kaya.

 

Scroll to Top