RUU Pekerja Gig 2025 dibentang kali pertama

RUU Pekerja Gig 2025 dibentang kali pertama

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bagi memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan 1.2 juta pekerja sektor berkenaan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika membentangkan RUU itu berkata, bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini.

“Selepas penantian bertahun-tahun, 1.2 juta pekerja gig yang merupakan daya tenaga membangunkan ekonomi negara memberikan keselesaan kepada kehidupan kita, berhempas-pulas bermandi keringat (bagi) mencari sesuap nasi (dan) rezeki halal, saya mohon untuk mengemukakan RUU Pekerja Gig 2025,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sim kemudian semasa sidang medianya menyifatkan RUU Pekerja Gig 2025 adalah undang-undang pertama bagi menjaga kebajikan pekerja gig.

Katanya, RUU ini sudah melalui pelbagai sesi libat urus dalaman kerajaan, kementerian berkaitan dan kerajaan negeri khususnya Sabah dan Sarawak.

Selain itu katanya, ia juga melalui hampir 40 sesi libat urus bersama pemegang taruh yang terdiri daripada syarikat platform, wakil majikan, wakil pekerja, persatuan pekerja gig, kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.

“Kira-kira 4,000 pemegang taruh telah menyertai sesi libat urus untuk menghasilkan RUU kali ini.

“Dalam setahun ini, kita juga membuka ruang memberikan maklum balas dalam talian dan hasilnya lebih kurang 500 maklum balas kita telah terima,” katanya.

Sim berkata, RUU itu bukan dibuat atas angin, sebaliknya dirangka selepas mendapat maklum balas daripada semua pihak.

“Sudah tentu ia tidak dapat memenuhi satu pihak semata-mata, tetapi semua pihak kita telah rujuk dan akhirnya ada RUU ini.

“Saya harap semua pihak khususnya pembangkang dan kerajaan sama-sama meluluskan RUU ini.

“Ia supaya pekerja gig tidak lagi bertarung nyawa untuk bangunkan ekonomi negara bagi memberikan keselesaan hidup (kepada) kita khususnya e-hailing dan p-hailing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top