RUU Perolehan Kerajaan bukti kerajaan tegas tangani ketirisan – PM

RUU Perolehan Kerajaan bukti kerajaan tegas tangani ketirisan – PM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak banyak negara terutama Menteri Kewangan yang sanggup melepaskan kuasa, malah boleh diambil tindakan undang-undang jika didapati culas dalam mengurus perolehan kerajaan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 hari ini, bukti keseriusan kerajaan untuk membendung amalan ketirisan dalam pengagihan perolehan kerajaan.

“Daripada kerajaan ini satu yang agak berani. Tak banyak kerajaan sanggup melepaskan tanggungjawab dari proses rundingan terus ini dengan digantikan dengan proses tender.

“Masalahnya tidak membolehkan sama sekali meluluskan projek tanpa kaedah yang telus melalui proses tender,” katanya membentangkan RUU Perolehan Kerajaan 2025 peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, RUU ini mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal yang digubal dengan hasrat untuk mencapai beberapa matlamat jelas dan tegas, iaitu meletakkan pertanggungjawaban sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang melaksanakan perolehan menggunakan dana kerajaan.

Beliau berkata, ia juga bertujuan menoktahkan amalan rasuah dan ketirisan wang rakyat serta bagi mengenakan tindakan punitif yang tegas ke atas mana-mana pesalah, tanpa mengira penjawat awam termasuk bekas menteri, kontraktor atau mana-mana pihak.

“Sekiranya didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman denda atau penjara. Umpamanya, kesalahan memindah pemberian perolehan/kontrak perolehan termasuk mencegah gejala rent-seeking boleh dijatuhi hukuman denda tidak kurang tiga kali ganda nilai pemberian atau kontrak perolehan kerajaan atau RM1 juta, yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Jika gagal menzahirkan kepentingan termasuk kepentingan mana-mana pemunya benefisial boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Anwar berkata, campur tangan yang mengganggu proses perolehan kerajaan juga boleh disabit kesalahan dan dihukum denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau menjelaskan, RUU ini juga digubal untuk mengekang amalan perolehan yang tidak adil dan sering disalah guna, dengan mewajibkan penubuhan dan pentadbiran Panel Kajian Semula ke atas keputusan di semua agensi pelaksana perolehan kerajaan serta penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan kerajaan sebagai badan berkecuali di bawah Kementerian Kewangan.

“RUU ini tetap punyai ruang untuk terus menyokong dasar utama dan keperluan semasa. Ini apa yang disebut tentang pengecualian. Pertama, pengecualian itu sepertimana yang sedia ada melibatkan keselamatan, kerahsiaan yang terkait dengan perolehan perisikan dan keselamatan negara.

“Keduanya, kesegeraan, umpamanya banjir tentunya dituntut supaya disegerakan. Kemudian ada hal di mana disebut pembekal tunggal. Bezanya dia mesti telus, melainkan perolehan yang ditetapkan oleh Majlis Angkatan Tentera atau Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Anwar berkata, RUU ini juga bertepatan dengan amalan terbaik antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top