Dewan Rakyat semalam kecoh apabila ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes selepas Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 (RUU PK 2025) diluluskan bacaan kedua melalui undian belah bahagi.
RUU Perolehan Kerajaan diluluskan
Memetik laporan daripada Sinar Harian, RUU itu diluluskan dengan 125 undi bersetuju, 63 menentang, seorang tidak mengundi manakala 32 lagi tidak hadir.
Pembangkang keluar dewan lepas RUU Perolehan Kerajaan diluluskan
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menjelaskan desakan pembangkang supaya RUU dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Kewangan dan Ekonomi tidak berbangkit kerana tiada sebarang permohonan dibuat sebelum ini.
“Jawatankuasa iaitu pengerusi mestilah JPKP menulis (surat) kepada mana-mana kementerian yang akan memastikan draf undang-undang selepas bacaan pertama.
“Dia boleh (minta), tapi saya sudah semak tidak ada permohonan untuk JPKP minta itu, jadi saya anggap tidak ada permohonan,” katanya.
RUU bukan dibentang secara tergesa-gesa
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan RUU ini bukan dibentang secara tergesa-gesa kerana penggubalannya sudah bermula sejak 2018 dengan mengambil kira pelbagai libat urus.
“Ada penambahbaikan yang kita buat hasil dari libat urus ini. Sebab libat urus itu sudah luas, (maka libat urus dengan) Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) tak wajib, sebab kita sudah buat libat urus.
“Di bawah RUU ini, peruntukan kuasa untuk menetapkan kaedah lain secara perolehan terbuka dan bersaing diberi kepada Menteri Kewangan di bawah fasal 28(2),” ujarnya.
Namun begitu beliau menjelaskan, kuasa itu tetap disertakan kawalan dengan kriteria dan syarat tertentu.
Jika berlaku ketidakpatuhan, keputusan perolehan boleh dibawa ke panel kajian semula dan tribunal.
“Ini satu kawalan baharu masuk yang tidak wujud dalam cara perolehan sekarang. Ini penambahbaikan, kerana itu kita bawa RUU ini (kerana) mahu kawal proses perolehan kerajaan,” tegasnya.
Artikel lain: PM Anwar tegaskan tidak banyak negara berani lepas kuasa demi integriti perolehan
RUU ini mengandungi 12 bahagian dengan 93 fasal, digubal untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan mencegah ketirisan, selain seiring dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diterajui SPRM.
Sumber: Sinar Harian (Raiham Mohd Sanusi)