kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Rang Undang-undang Pembangunan Semula Bandar (RUU URA) yang akan dibawa ke Parlimen dijangka memberi kesan besar terhadap aktiviti ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor hartanah, pembinaan dan perkhidmatan bandar.
Pensyarah Kanan Universiti Malaya-Wales dan University of Technology Sarawak, Prof Dr Noor Rosly Hanif berkata, RUU itu memberi kuasa kepada kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju untuk melaksanakan pembangunan semula kawasan bandar, khususnya perumahan lama yang tidak lagi sesuai didiami.
Katanya, langkah itu inisiatif penting bagi meningkatkan taraf hidup penduduk bandar berpendapatan rendah, selain menangani isu kemiskinan bandar secara lebih menyeluruh.
“Pelaksanaan RUU URA mampu mempercepat usaha kerajaan menghapuskan kawasan perumahan usang dan daif yang kini menjadi ‘urban slum’ terutama di kawasan metropolitan seperti Kuala Lumpur.
“Banyak flat kos rendah yang dibina antara 1970-an hingga 1990-an kini tidak lagi sesuai didiami kerana saiz unit kecil, kemudahan terhad serta kemerosotan penyelenggaraan dan antara isu ketara termasuk lif rosak, kekurangan parkir, masalah sosial serta kewujudan gerai haram yang mencacatkan imej bandar,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, RUU URA bukan sekadar memberi kuasa mengambil semula tanah, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan baharu yang lebih kondusif, moden dan sesuai dengan keperluan keluarga masa kini.
Katanya, pembangunan semula ini selari dengan sasaran kerajaan untuk membina sejuta unit rumah kediaman di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sekali gus dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi setempat melalui penggunaan teknologi pembinaan dan kemudahan bandar terkini.
Noor Rosly berkata, kemampuan RUU URA meningkatkan daya tarikan pelaburan domestik dan asing banyak bergantung kepada bentuk pembangunan semula yang dilaksanakan serta dasar kerajaan berkaitan pemilikan dan percukaian hartanah.
Katanya, setiap projek mesti berpandukan kepada Pelan Struktur, Pelan Tempatan dan Pelan Kawasan Tindakan yang diwartakan kerajaan bagi memastikan pembangunan menepati keperluan setempat dan berdaya maju.
“Dasar perumahan negara dan standard perancangan semasa akan menentukan spesifikasi keluasan unit serta kemudahan asas yang perlu disediakan, namun semua ini turut membabitkan kos pematuhan lebih tinggi bagi pemaju,” katanya.
Katanya, walaupun kos meningkat, pertambahan jumlah unit dan nilai pasaran semasa dijangka dapat menyerap perbelanjaan itu, terutama jika terdapat elemen subsidi silang oleh kerajaan atau pemaju untuk mengekalkan harga mampu milik dan kadar sewaan berpatutan.
Selain itu, beliau berkata, RUU URA juga dijangka memberi kesan positif terhadap kesejahteraan ekonomi bandar dalam jangka panjang.
“Pembangunan semula kawasan usang akan mengembalikan semula nilai hartanah dan sewaan yang merosot akibat kegagalan penyelenggaraan, seterusnya meningkatkan daya saing ekonomi kawasan terbabit.
“Apabila projek pembangunan semula dilaksanakan, ia mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam industri pembinaan, perkhidmatan profesional, bahan binaan serta insurans dan kitaran ekonomi ini akan merancakkan lagi aktiviti bandar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



