Rwanda kekal tuan rumah Kejohanan Berbasikal Dunia

Rwanda kekal tuan rumah Kejohanan Berbasikal Dunia

Paris: Rwanda dijadualkan menjadi tuan rumah Kejuaraan Berbasikal Dunia pada September, namun kebimbangan mengenai kemungkinan konflik dengan Republik Demokratik Congo (DRC) yang berdekatan menimbulkan keraguan bahawa acara itu mungkin dipindahkan ke Eropah.

Rwanda mempunyai tradisi sukan berbasikal serta turut menganjurkan perlumbaan lapan hari, Tour of Rwanda yang berlangsung di kawasan berbukit yang mencabar sejak tahun 1988.

Edisi tahun ini akan bermula pada 23 Februari.

Namun, tentera Rwanda kini sedang mara ke timur DRC yang kaya dengan sumber mineral, walaupun kerajaan Rwanda menafikan menyokong pemberontak di kawasan itu.

Burundi yang terletak bersebelahan dilaporkan sudah menghantar 10,000 tentera untuk membantu tentera DRC, dengan konflik ini berisiko menarik pihak lain untuk terbabit.

Perkembangan ini sedang dipantau oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan pihak berkuasa sukan Rwanda.

“Tidak ada rancangan untuk memindahkan Kejuaraan Dunia Berbasikal ke Switzerland setakat ini,” kata UCI sebagai maklum balas terhadap laporan media Belgium yang mencadangkan kejuaraan dunia 2025 akan dipindahkan ke Martigny, Switzerland.

Pihak berkuasa Rwanda menegaskan bahawa negara itu adalah selamat untuk dilawati, dengan pegawai berusaha untuk mempromosikan sukan di negara yang 30 tahun lalu menjadi saksi kepada pembunuhan beramai-ramai.

Sementara itu jurucakap kerajaan Yolande Makolo berkata, Rwanda selamat untuk penunggang basikal dan pelawat dengan perlumbaan akan berlangsung dan laluannya tetap sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top