Rwanda kembali bawa F1 ke Afrika

Rwanda kembali bawa F1 ke Afrika

Paris: Rwanda bakal menjadi negara Afrika pertama menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) sejak 1993 apabila negara itu dijangka kembali menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij berkenaan pada awal 2030-an, susulan pengumuman perjanjian selama 10 tahun dengan F1, hari ini.

Negara Afrika Timur itu sudah lama berusaha membawa perlumbaan Grand Prix (GP) ke negaranya, selepas menggunakan bola sepak, bola keranjang dan sukan lain untuk meningkatkan imej negara serta menarik pelaburan.

Presidennya, Paul Kagame, secara rasmi mengumumkan hasrat membida penganjuran perlumbaan itu ketika Rwanda menjadi tuan rumah perhimpunan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada Disember 2024.

Perlumbaan F1 terakhir di Afrika ialah GP Afrika Selatan ke-33 yang dimenangi Alain Prost, 33 tahun lalu.

GP Afrika pertama di Rwanda akan berlangsung sebaik sahaja litar baharu yang dibina khusus untuk perlumbaan di Bugesera, Rwanda, siap dibangunkan, menurut kenyataan F1.

“Hari ini adalah detik bersejarah buat Formula 1,” kata Presiden F1, Stefano Domenicali.

“Dengan penyertaan Rwanda dalam kalendar perlumbaan mulai dekad akan datang, sukan ini akan berlangsung di setiap benua yang didiami manusia, sekali gus membawa kejuaraan dunia lebih dekat kepada peminat di seluruh dunia.

“Afrika sentiasa menjadi sebahagian daripada masa depan Formula Satu. Sejak awal lagi, kami bertekad untuk kembali dengan cara yang betul, bersama rakan kerjasama yang tepat, komitmen jangka panjang dan visi jelas bagi mewujudkan impak yang bermakna,” katanya lagi.

Rwanda, sebuah negara yang tidak mempunyai pesisir pantai dan masih dikaitkan secara meluas dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai pada 1994, menggunakan sukan sebagai platform untuk memulihkan imej negara, menarik pelancong serta meyakinkan pelabur menerusi kecekapan penganjuran acara.

Negara itu membelanjakan sejumlah besar wang bagi menjalin kerjasama penajaan bola sepak dengan kelab ternama termasuk Arsenal dan Paris Saint-Germain (PSG).

Rwanda turut bekerjasama dengan NBA untuk menjadi hab utama liga bola keranjang Afrika, selain menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Berbasikal pada tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top