RXZ Members 7.0: PM Anwar salur peruntukan tambahan RM200,000

RXZ Members 7.0: PM Anwar salur peruntukan tambahan RM200,000

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk program berkenaan.

“Peruntukan awal sebanyak RM100,000 adalah sumbangan Perdana Menteri manakala peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 lagi adalah hasil usaha beliau (Perdana Menteri) mendapatkan sokongan daripada syarikat korporat.

“Kita harap dengan bantuan kewangan ini, ia dapat menyuntik semangat kepada penganjur untuk terus mengadakan program seperti ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program yang disempurnakan Pengasas Bersama (Co-Founder) Air Asia, Datuk Kamarudin Meranun, di sini, hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan maut ketika dalam perjalanan ke himpunan dan menitipkan pesanan supaya semua peserta berhati-hati dalam perjalanan pulang nanti.

Mengulas penganjuran program kali ini, beliau menafikan dakwaan kerajaan menghalang pembabitan kerajaan Terengganu sebaliknya ia adalah program persendirian.

“Program ini diadakan setiap tahun dan penganjur memohon pertimbangan sokongan daripada Perdana Menteri. Apabila Perdana Menteri melihat program ini menyatukan rakyat dari seluruh negara, beliau mahu memberikan semangat kepada penganjur yang rata-rata anak muda,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program RXZ Members 7.0 Lukhman Hassan, berkata, peruntukan yang disalurkan PM itu adalah ‘hadiah’ kepada peserta.

Berkaitan dakwaan penganjuran kali ini mengenepikan kerajaan negeri beliau berkata, pihaknya akan mengadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top