am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menasihatkan peserta Program RXZ Members 7.0 untuk tidak melakukan perbuatan menyalahi undang-undang jalan raya ketika pulang ke destinasi masing-masing.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dan kerjasama dari aspek memudahcara perjalanan pulang peserta ke serata pelusuk negeri.
Bagaimanapun katanya, pihaknya memberi peringatan kepada peserta supaya menunggang secara berhemah dan jangan melakukan aksi berbahaya.
“Amaran kepada semua penunggang motosikal (RXZ) supaya mematuhi peraturan lalulintas dan tidak menunggang secara berbahaya dan melulu.
“Tindakan itu bukan hanya mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. Dalam tempoh dua hari sudah empat kes kemalangan maut termasuk terbaharu di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik ke Jeli pagi tadi.
“Nasihat saya, ketika pulang nanti, tungganglah motosikal secara berhati-hati dan jaga keselamatan diri,” katanya selepas menghadiri majlis Perasmian Penutup Program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini, hari ini.
Ujarnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap semua pihak yang melanggar peraturan jalan raya dan menunggang secara berbahaya.
Sementara itu Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang bentuk saman sepanjang penganjuran program berkenaan.
“Penguatkuasaan selama empat hari iaitu sehari sebelum program, semasa (program), dan selepas dilakukan lebih kepada memudahcara bagi melancarkan perjalanan program dari segi aliran trafik dan kawalan keselamatan serta rondaan.
“Selepas habis tempoh (empat hari) kita akan menjalankan penguatkuasaan seperti biasa bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan tindakan dikenakan sekiranya di kesan melakukan kesalahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd