Rybakina jumpa remaja sensasi Mboko di separuh akhir Terbuka Kanada

Rybakina jumpa remaja sensasi Mboko di separuh akhir Terbuka Kanada

MONTREAL: Juara Wimbledon 2022, Elena Rybakina bakal berdepan bintang remaja tuan rumah, Victoria Mboko dalam separuh akhir WTA Terbuka Kanada selepas kedua-duanya mencatat kemenangan pada aksi hari ini.

Rybakina, pemain nombor 12 dunia dari Kazakhstan, mendahului 6-1, 2-1 apabila lawannya dari Ukraine, Marta Kostyuk menarik diri akibat kecederaan pergelangan tangan.

Mboko, 18, mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila mengetepikan Jessica Bouzas Maneiro dari Sepanyol 6-4, 6-2 untuk layak ke separuh akhir WTA 1000 pertamanya.

“Saya sangat teruja dapat mara ke separuh akhir di sini. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan anda, ini benar-benar luar biasa,” kata Mboko.

Mboko sebelum ini menewaskan pilihan utama Coco Gauff dan mula tahun ini di ranking ke-333 dunia, namun kemenangan ini menjamin tempatnya dalam kelompok 50 terbaik minggu depan.

Rybakina sebelum ini menewaskan Mboko 6-3, 7-5 dalam satu-satunya pertemuan mereka di Washington bulan lalu.

Bouzas Maneiro memulakan set kedua dengan satu break, tetapi gagal menang sebarang game selepas itu apabila Mboko menguasai baki enam permainan untuk tamatkan aksi dalam masa 77 minit.

“Saya berlatih di sini (Kanada) dan ini satu peluang besar buat saya. Pertama kali beraksi di Montreal, ia satu pengalaman yang luar biasa dan saya sangat bersyukur,” katanya.

Rybakina pula kini memburu gelaran WTA ketiganya selepas menjulang kejuaraan di Rome dan Indian Wells tahun lalu.

Dalam pada itu, Kostyuk menerima rawatan di pergelangan tangan pada set pertama sebelum menarik diri dalam keadaan sebak selepas 54 minit permainan. – AGENSI

Scroll to Top