Komposer dan penulis lirik terkenal, Saari Amri, memohon maaf secara terbuka kepada pemain gitar kumpulan Barbarik, JoBranko selepas mengakui tersilap membuat kenyataan melibatkan nama artis itu dalam satu temu bual yang disiarkan di YouTube baru-baru ini.
Permohonan maaf itu merujuk kepada kenyataan Saari dalam temu bual bertajuk “Sembang Pantai Timur – Saari Amri Pernah Kena Khianat Hilang Syarikat Rakaman” yang dimuat naik oleh YouTube pada 12 Jun 2025.
Dalam rakaman tersebut, Saari secara tidak sengaja menyebut nama Jo berhubung satu isu pembelian premis atau studio rakaman yang kemudiannya didapati tidak benar.
“Saya secara khilaf telah menyebut nama Jo dalam temubual tersebut, walhal dia langsung tidak tahu menahu dan tidak terlibat dalam isu yang saya ceritakan.
“Saya amat kesal dan mohon maaf secara terbuka kepada Jo serta semua pihak yang terkesan akibat kekhilafan saya itu,” katanya.
Menurut Saari, kenyataan itu tidak dilakukan dengan sebarang niat untuk memfitnah atau menjatuhkan sesiapa, dan menyifatkannya sebagai kecuaian semata-mata.
“Diakui selepas saya mengalami kemalangan, saya selalu terlepas cakap tanpa memikirkan kesahihan kata-kata saya.
“Saya amat menghargai keikhlasan Jo yang sudi menerima permohonan maaf saya dan memilih untuk menyelesaikan isu ini secara baik.
“Saya berharap kenyataan ini dapat menghentikan sebarang spekulasi serta menjaga nama baik beliau sebagai anak seni yang dihormati,” tambahnya.
Sementara itu, peguam mewakili Jo, Colin Victor George dari firma guaman Tetuan Colin Victor & Co., mengesahkan pihaknya telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan berkenaan.
“Kami telah meneliti rakaman temu bual dan mendapatkan bukti berkaitan daripada pihak ketiga. Hasil siasatan kami mendapati Jo tidak pernah terlibat dengan mana-mana urusan pembelian premis atau studio seperti yang dinyatakan.
“Selepas perbincangan, Saari mengakui kekhilafannya dan bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, manakala Jo pula menerima permohonan maaf itu dengan hati terbuka,” katanya.
Colin turut memberi peringatan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati ketika mengulas di media sosial, khususnya apabila melibatkan dakwaan yang tidak disahkan.
“Kami sedang memantau kenyataan-kenyataan fitnah yang berlegar di media sosial dan telah mengenal pasti beberapa individu yang membuat kenyataan atau komen di media sosial yang mengaibkan Jo dan tindakan sewajarnya sudah diambil.
“Penyebaran fitnah bukan sahaja membawa implikasi undang-undang, malah mencemarkan nama baik individu yang tidak bersalah,” tegasnya.