sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Tuan rumah Sabah mengaibkan Pahang Rangers FC selepas menewaskan pelawat 9-5 pada pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 musim 2025 di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Rekod mengecewakan 5-6 pada pertemuan pertama sebelum ini seolah tidak menjejaskan semangat pemain Sabah untuk bangkit melakar kejayaan paling manis ke atas lawan yang juga bekas juara berganda musim pada 2023.
Pemain Sabah Costa Freitas muncul wira apabila menyumbang empat gol pada minit pertama, 3, 12 dan 25.
Empat gol disumbang oleh Vitor Manoel Da Silva (1, 17, 20 dan 37) dan Farhan Arman (4).
Lima gol Pahang Rangers dihasilkan oleh Zarif Mahmun (19), Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir (22), Matheus Moura (23) Sirhan Aiman (38) dan gol sendiri pemain tuan rumah Manoel (14).
Jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca berkata, nasib tidak menyebelahi pasukan Pahang Rangers apabila terpaksa menerima kekalahan yang begitu mengecewakan, terutama dalam usaha memburu kejayaan musim ini.
Katanya, pemain telah memberi persembahan yang diharapkan namun semuanya seolah tidak menjadi, sebaliknya lawan yang lebih menyerlah sepanjang perlawanan yang dilihat berat sebelah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd