am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk kesejahteraan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pada 14 Ogos ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata majlis terbabit juga akan diadakan secara serentak di semua masjid dan surau seluruh negeri ini.
“Pada 8 Ogos (Jumaat lalu), saya mengarahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk menyelaras Majlis Tahlil dan Doa untuk kesejahteraan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di semua masjid dan surau seluruh negeri Sabah.
“Untuk makluman, kerajaan negeri akan menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri pada hari Khamis ini (14 Ogos) selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang akan dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
“Acara ini juga akan diadakan secara serentak di semua masjid dan surau seluruh negeri.
“Bersama-samalah kita berdoa semoga Allahyarhamah beroleh maghfirah dan rahmah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, malam ini.
Media sebelum ini melaporkan Zara didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Zara disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd