sukan@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sabah FC dimalukan bekas penyerangnya sendiri, Ajdin Mujagic apabila dibolosi dua gol hasil jaringan pemain berkenaan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Mujagic yang baru menyertai JDT selepas dilepaskan Sabah FC pada akhir bulan lalu, menjaringkan dua gol pada minit ke-21 dan ke-39 bagi menambah jaringan pasukan pelawat untuk menundukkan tuan rumah dengan jaringan 6-1.
JDT memulakan jaringan menerusi sepakan penalti Bergson Da Silva pada minit kelapan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan dia dijatuhkan pemain Sabah, Dane Ingham dalam kawasan petak penalti dua minit sebelum itu.
Selepas jaringan pembukaan itu, JDT tidak berlengah mengasak tuan rumah hingga mendapat gol kedua menerusi Mujagic pada minit ke-21, sebelum disusuli jaringan ketiga oleh Oscar Aribas pada minit ke-24 dan sekali lagi gol Mujagic pada minit ke-39.
Sepanjang babak pertama, Sabah hanya berhasil melakukan dua atau tiga cubaan ke arah gawang JDT, namun tidak mampu untuk menjaringkan gol disebabkan halangan pertahanan lawan yang sukar ditembusi.
Bersambung ke separuh masa kedua, JDT tidak berlengah untuk menambah lagi jaringan.
Jaringan pada minit ke-45 itu dihasilkan Manuel Hidalgo, sebelum disusuli gol keenam hanya berselang dua minit oleh Aribas pada minit ke-47.
Sepanjang babak kedua, pemain Sabah dilihat lebih banyak berada di kawasan sendiri dan hanya sesekali berjaya melakukan serangan balas, namun mudah dipatahkan pertahanan JDT.
Hanya pada minit-minit akhir pemain Sang Badak dilihat mula agresif melakukan serangan dan bernasib baik dapat mencipta satu jaringan melalui penyerang baharunya, Chris Ondong Mba pada minit ke-88.
Jaringan itu umpama bonus bagi pasukan Sabah kerana berjaya menidakkan kemenangan dengan jaringan tanpa balas oleh JDT.
© New Straits Times Press (M) Bhd




