Sabah FC kecundang lagi di Likas

Sabah FC kecundang lagi di Likas

HASRAT Sabah FC untuk mengakhiri kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Super tidak kesampaian apabila dibelasah Penang FC 3-0 dalam aksi di Stadium Likas, malam ini.

The Black Panthers kendalian Tomas Trucha memulakan pesta gol hasil tandukan Casagrande pada minit ke-37 untuk mendahului skuad The Rhinos asuhan Kurniawan Dwi Yulianto 1-0 pada babak pertama.

Pada babak kedua, Penang FC yang diaibkan Kedah Darul Aman FC 1-4 dalam aksi di Stadium Darul Aman pada 17 Ogos lalu terus mengasak kubu tuan rumah bagi melebarkan jaringan.

Akhirnya Casagrande sekali lagi meledak jaringan kedua pada minit ke-52 sebelum Sheriddin Boboev melengkapkan malam pesta The Black Panthers dengan gol pada minit ke-66.

Keputusan di Likas itu menyaksikan Sabah FC kini mengumpul 19 mata manakala Penang FC mengumpul 34 mata selepas masing-masing mengharungi 19 perlawanan liga.

Untuk rekod kali terakhir anak buah Kurniawan melakar kemenangan adalah ketika menewaskan Melaka United 3-1 di Stadium Likas pada 5 Mei lalu.

Scroll to Top