sukan@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sabah FC perlu melakukan sesuatu bagi memperbaiki kelab itu secara keseluruhan berikutan prestasi pasukan yang merosot sejak permulaan musim ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Daniel Marigny, mengakui ada banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan prestasi pasukan bimbingannya dapat dipulihkan.
Walaupun tidak menjelaskan apa yang perlu dilakukan Sabah FC, beliau berkata perkara itu adalah asas yang perlu dilaksanakan bagi membina semula kekuatan pasukan.
“Saya rasa memang ada banyak perkara yang Sabah FC perlu lakukan untuk memperbaiki kelab secara keseluruhan. Dengan itu, barulah kita boleh memperbaiki pasukan.
“Saya harap proses ini sedang berjalan dan semua pihak faham akan keperluan itu. Bila perkara asas itu sudah tersedia, barulah kita boleh bina sesuatu.
“Tanpa asas yang kukuh, memang sukar untuk membina apa-apa,” katanya pada sidang media selepas aksi Liga Super Sabah menentang Kuching City FC yang menyaksikan pasukannya tewas 0-1 di Stadium Likas, malam tadi.
De Marigny berkata demikian ketika ditanya perancangan pasukan selepas ini selepas hanya memenangi satu perlawanan setakat ini bagi musim 2025/2026, iaitu ketika perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA menentang Bunga Raya FC pada Ogos lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




