sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Sabah FC mengutip tiga mata selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sebentar tadi.
Ketinggalan 0-1 pada satu ketika, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bangkit menjaringkan tiga gol pada babak pertama perlawanan untuk menafikan tuan rumah daripada mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
Namun, pada perlawanan itu, tuan rumah bermula dengan baik apabila tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan Kpah Sherman selepas menerima hantaran daripada Sergio Aguero seawal minit keenam.
Pasukan pelawat yang ketinggalan 0-1 berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-15 menewaskan penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan Hashimuddin buat kali kedua.
Selepas itu, Sabah tidak menoleh lagi apabila terus bangkit memperoleh gol kedua hasil jaringan pemain tengah, Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-25.
Pada minit ke-34, pemain pertahanan, Daniel Ting menjaringkan gol ketiga buat Sabah selepas tandukannya membolosi gawang skuad Tok Gajah.
Ketinggalan 1-3, tuan rumah berusaha untuk mengurangkan defisit tetapi terpaksa akur menamatkan babak pertama dengan kelebihan kepada pasukan pelawat.
Sebaik bersambung babak kedua, Sri Pahang tidak mengambil masa yang lama untuk merapatkan jurang gol apabila Sherman menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah yang juga jaringan kedua peribadi pada minit ke-48.
Pada minit ke-75, Sherman yang memiliki peluang untuk menjaringkan gol ketiga tetapi bola melepasi palang ketika penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.
Ketinggalan 2-3 menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad itu berusaha menggandakan asakan ke kubu lawan tetapi kekentalan pertahanan Sabah menyaksikan Sri Pahang terpaksa akur tewas 2-3 di halaman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




