KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk melakukan pemotongan gaji 50 peratus bagi jemaah Kabinet dan 30 peratus bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bermula pada bulan ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet Negeri Sabah, semalam.
Beliau berkata, pemotongan gaji 50 peratus semua menteri dan pembantu menteri selama dua bulan berkuatkuasa bulan ini.
“Semua ADUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga turut melepaskan 30 peratus daripada gaji mereka selama sebulan.
“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana untuk membiayai pengurusan pandemik Covid-19 di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua pemimpin dalam kerajaan GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini.
Dalam mesyuarat itu, Kabinet negeri turut mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 Covid-19 berjumlah RM120.47 juta dan tambahan RM34.4 juta untuk bantuan bakul makanan kepada semua sektor yang terkesan akibat pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE




