Sabah, Sarawak kekal nikmati subsidi diesel dengan had pengisian

Sabah, Sarawak kekal nikmati subsidi diesel dengan had pengisian

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter meskipun harga minyak di pasaran melambung tinggi ketika ini, kesan daripada konflik Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor geografi dan cabaran logistik di kedua-dua negeri berkenaan.

“Maknanya, apabila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan lebih rapi serta penguatkuasaan lebih berkesan.

“Tetapi memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah Sarawak, kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini. Namun, ketirisan harus dikekang dan dikawal,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan hari ini.

Anwar berkata, bagi menjamin dan memastikan supaya bekalan diesel dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua pihak, had pengisian akan dilaksanakan.

“Bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum dihadkan 50 liter setiap pembelian.

“Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan pula dihadkan maksimum 100 liter setiap pembelian, serta kenderaan melebihi tiga tan, dihadkan maksimum 150 liter setiap pembelian,” katanya.

Katanya, tanpa langkah tambahan itu dibimbangi terdapat kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup bahan api oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti dikesan sebelum ini.

“Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan untuk sebahagian rakyat.

“Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan dan jentera kerajaan.

“Kita tidak boleh memberi subsidi dan kemudian melihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan.

“Oleh itu, amaran keras harus diberikan sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan,” katanya yang turut menghargai keprihatinan rakyat yang cakna dan melaporkan sebarang ketirisan kepada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top