Sabah selamat di Likas

Sabah selamat di Likas

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaringan dramatik babak kedua pemain gantian, S Kumaahran menyelamatkan Sabah daripada kekalahan di Stadium Likas apabila mengikat Negeri Sembilan 1-1 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan pengendali baharu Sabah, Juan Torres Garrido dan ketua jurulatih interim Negeri Sembilan, K Rajan berkongsi satu mata pada tugasan pertama mereka mengendali pasukan masing-masing.

Pada aksi sebentar tadi, Sabah lebih banyak menguji Negeri Sembilan di awal permainan dengan sepakan percuma menarik Dane Ingham pada minit ke-17 hampir memerangkap penjaga gol Azri Ghani, namun pemain kebangsaan itu berjaya melakukan tindakan penting untuk menyelamatkan gawangnya.

Azri terus dipaksa bekerja keras mempertahankan kubu skuad Jang apabila menyelamatkan rembatan dari luar kotak penalti yang dilakukan Fergus Tierney pada minit ke-30.

Skuad Badak bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pembukaan Negeri Sembilan pada minit ke-33 apabila Jovan Motika bijak memperdaya pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol, Damien Lim.

Tindakan Garrido membawa masuk Kumaahran pada minit ke-56 memberi impak terhadap jentera serangan Sabah dengan beberapa hantaran menariknya berjaya mencipta deretan peluang buat skuad Badak.

Meskipun memperoleh banyak peluang, nasib seakan tidak memihak kepada Sabah apabila rembatan pemain import, Chris Ondong Mba di dalam kotak penalti pada minit ke-58 sedikit melepasi palang dan satu lagi percubaannya tujuh minit kemudian pula menggegar palang.

Drama tercetus pada minit ke-69 selepas Kumaahran meledak gol penyamaan Sabah selepas sepakan percuma pantas dilakukan Duje Ljubic yang mana ketika itu pintu gol Negeri Sembilan terbuka luas susulan Azri keluar dari posisinya.

Azri dipercayai bertindak keluar dari posisinya dan cuba menuju ke arah pengadil, Muhamad Afiq Naim Ahmad Khilmi untuk membuat bantahan susulan sepakan percuma yang diberikan kepada Sabah.

Muhamad Afiq turut menyemak video bantuan pangadil (VAR) mengenai situasi jaringan yang dihasilkan Kumaahran sebelum dia mengesahkan gol penyamaan itu buat Sabah.

Aksi sengit terus dipamerkan selepas itu, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Sabah berada di kedudukan ke-10 dengan mengumpul 15 mata, manakala Negeri Sembilan yang menghimpun 18 mata selepas 17 perlawanan menghuni tangga ketujuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top