Sabalenka, Svitolina, Swiatek gegar separuh akhir Terbuka Madrid

Sabalenka, Svitolina, Swiatek gegar separuh akhir Terbuka Madrid

MADRID: Aryna Sabalenka membuktikan statusnya sebagai pemain No.1 dunia apabila menewaskan Marta Kostyuk dalam aksi dramatik dua set yang menyaksikan hujan, emosi dan tiebreak mendebarkan di Terbuka Madrid, awal pagi tadi.

Sabalenka menang 7-6(7/4), 7-6(9/7) dalam pertembungan penuh tekanan yang terhenti seketika akibat hujan ketika tiebreak set kedua, sebelum bangkit menyelamatkan tiga mata set untuk mara ke separuh akhir buat kali keempat.

“Keadaan sangat sukar, bukan soal tenis tetapi tentang bagaimana kawal emosi. Saya bangga dengan cara saya bertahan,” kata Sabalenka.

Pemain Belarus itu bakal berdepan Elina Svitolina, pemain Ukraine yang sedang dalam misi membawa harapan negaranya apabila mara ke separuh akhir selepas menang mudah ke atas Moyuka Uchijima 6-2, 6-1 dalam masa 52 minit.

“Setiap kali balik ke Ukraine, saya dapat tenaga luar biasa daripada rakyat saya yang sedang lalui masa sukar. Saya mahu terus menang untuk mereka,” kata Svitolina.

Pemain Poland, Iga Swiatek pula bangkit daripada kekalahan memalukan set pertama 0-6 untuk membalas dendam ke atas Madison Keys dengan kemenangan 0-6, 6-3, 6-2 sekali gus menempah pertemuan dengan wakil Amerika Syarikat (AS) Coco Gauff di separuh akhir.

Gauff menunjukkan kematangan permainan apabila menyelamatkan dua mata set sebelum menundukkan pemain muda Rusia, Mirra Andreeva 7-5, 6-1 untuk mara ke separuh akhir WTA pertamanya tahun ini di luar kejohanan berpasukan. – AGENSI

Scroll to Top