Kuala Lumpur: Bintang bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid tersenarai dalam 24 calon bagi perebutan Anugerah Pemain Terbaik di Asia Fox Sports Asia untuk musim 2020 lantas membuktikan dirinya sebagai antara pemain terbaik di benua ini.
Namun, apa yang lebih mengujakan apabila pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT) itu akan berentap dengan beberapa pemain terkenal.
Pemenang anugerah Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 Virtual itu akan bersaing dengan pemain bintang Tottenham Hotspur dari Korea Selatan, Son Heung Min yang diramal sebagai pilihan utama untuk memenangi gelaran itu.
Di samping itu, Safawi juga akan dicabar bekas bintang barcelona, Andres Iniesta yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Vissel Kobe.
Bintang lain yang juga tersenarai adalah Takehiro Tomiyasu (Bologna), Hwang Hee Chan (RB Salzburg dan RB Leipzig), Wataru Endo (Stuttgart), Matthew Ryan (Brighton) dan Takefusa Kubo (Real Mallorca dan Villareal).
Sebagai rekod, Safawi yang baru pulang selepas dipinjamkan selama tiga bulan dengan kelab, Portimonense SC dari Portugal pernah memenangi anugerah anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Pada September lalu pula, dia merangkul Anugerah Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara AFC setelah jaringan cantik yang dihasilkannya menerusi sepakan lencong dalam kancah Liga Juara-Juara AFC 2019 ketika menentang kelab China, Shandong Luneng.
Sumber: HM
Akmal Hakim
Sports Desk



