'Sahut cabaran getir berkelana di Amerika Syarikat'

'Sahut cabaran getir berkelana di Amerika Syarikat'

DI SEBALIK CERITA

SIRI 3

mohamadridzuan@hmetro.com.my

KEJAYAAN lagu Dan Sebenarnya, Terukir Di Bintang, Lelaki, Penakut dan Gadis Semasa melonjakkan nama Yuna sehingga dilamar syarikat rakaman dan pengurusan Indie-Pop dan mengikat perjanjian dengan Fader Label, syarikat rakaman yang berpangkalan di New York.

Dia berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) pada 2011 dalam usia 25 tahun kerana menganggap misinya di Malaysia sudah lengkap dengan kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Kalau saya tak ambil peluang itu, sampai bila-bila saya akan menyesal rasanya. Jadi okeylah tak apa kita cubalah tengok macam mana. Macam okey ‘just go’ (pergi sahaja) kita ada duit sikit alhamdulillah ada simpanan sikit kan?

“Okay jom pergi LA (Los Angeles) kita buat lagu sebab masa itu saya banyak buat lagu English (bahasa Inggeris). Tapi lagu English tak ke mana dekat Malaysia cuma fans (peminat) yang dekat KL (Kuala Lumpur) saja, yang urban, style macam okey aku suka lagu English Yuna ini.

“Tapi kadang-kadang sebab MySpace dia sampai juga fans dekat luar negara. Jadi banyak fans masa itu. Ada juga fans daripada Chicago, daripada Seattle dan ini menaikkan keyakinan saya untuk ke sana,” katanya.

Yuna bagaimanapun menempuh cabaran di sana antaranya ‘homesick’ berjauhan dengan keluarga. Tambah pula dia tidak biasa berjauhan dengan keluarga.

“Nak balik selalu pula tak boleh sebab kosnya mahal. Saya ingat lagi masa ‘start’ (permulaan) itu saya tak ada perabot, tak ada apalah dekat apartmen itu kecuali ada piano ada tilam dan bantal.

“Piano itu pun kawan bagi sebab kawan itu tinggal tingkat atas dia nak pindah, sebab dia DJ. Tapi dia DJ mula dia tinggal apartmen kecil macam apartmen saya.

“Tapi dia tiba-tiba dapat durian runtuhlah kiranya sebab lagu dia tiba-tiba meletup. Jadi bila lagu itu meletup dia terus pindah rumah baru. Di sana kalau lagu itu meletup memang terus jadi jutawanlah,” katanya.

Yuna mengibaratkan dirinya seperti perantau yang datang ke Kuala Lumpur tanpa sebarang harta benda.

“Makan pun makan mi segera, makan roti, sardin. Dekat sana ada juallah sardin. Masak pun masak nasi putih, masak sardin, goreng telur macam itulah ringkas.

“Kita tak naklah kan macam kita ada simpanan tapi takkanlah nak bermewah? Jadi saya bermula dengan ringkas dan selepas itu baru perlahan-lahan dapat kerja, dapat ‘job’.

“Album dah keluar, saya tandatangan kontrak dengan Universal Music, adalah pendapatan. Alhamdulillah okaylah. Sejujurnya, bab duit itu bukannya satu masalah besar sangat pun,” katanya.

Menurutnya, gelaran budak Universiti Teknologi MARA (UiTM) sudah cukup mengajarnya berdikari untuk naik tren atau teksi awal pagi untuk ke studio dan balik pada sebelah petang.

“Studio kadang-kadang jauh juga. Tapi kalau jauh pengurus sayalah akan hantar sebab jauh sangat, macam kalau kena pergi Malibu itu macam sejam daripada rumah.

“Penerbit ini semua duduk Malibu. Rumah-rumah besar dekat Malibu. Orang-orang kaya. Jadi itulah lepas itu balik rumah macam biasa macam okay ‘settle down’ makan, tidur lepas itu ‘the next day’ sambung balik kan.

“Jadi saya seorang yang sangat serius lah ‘when it comes to work’ (apabila babit hal kerja). Saya rasa ada benda itu, disiplin sebab saya biasa dah jadi pelajar.

“Jarak daripada jadi pelajar dengan jadi artis itu tak lama kan, macam lepas ‘graduate’ (graduasi) terus jadi artis dekat Malaysia. Jadi dah kerja, dekat Malaysia bila pergi AS, okay kerja macam saya buang masa. Saya tak suka bazir masa,” katanya yang kini kembali menetap di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top