Enggan terus menjadi mangsa fitnah, pelakon Saidah Kamarudin tampil memperjelas kedudukan sebenar selepas dilempar pelbagai tuduhan negatif susulan putus tunang dengan aktor Muntazar Ghufran.
Menurut Saidah, 29, segelintir pihak melabel dirinya sebagai ‘gold digger’ atau kaki kikis sepanjang hubungan mereka, namun dakwaan itu disifatkan tidak berasas dan melampau.
Katanya, sepanjang hubungan tersebut, dia turut mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan tidak pernah mengambil kesempatan ke atas bekas tunangnya itu.
“Saya ada bukti yang saya bayar. Dia sendiri yang nak ikut, bukan saya paksa. Lagipun, masa itu kami dalam fasa bercinta.
“Dia pernah mengaku duit habis sebab rugi trading, bukan sebab saya. Jadi, di mana logiknya saya dikatakan ambil kesempatan?” katanya menerusi hantaran di laman Threads.
Saidah turut mempersoalkan tuduhan ‘kaki kikis’ yang dilemparkan kepadanya sedangkan dia sendiri tidak pernah menerima sebarang kemewahan sepanjang bersama aktor terbabit.
“Tiada apa pun nak dikikis sebenarnya,” katanya.
Pelakon itu mengakui fitnah yang bertebaran memberi kesan terhadap dirinya, apatah lagi apabila membaca komen melulu di media sosial yang disifatkan tidak adil dan menyakitkan hati.
“Saya terkesan sebab semuanya tidak benar. Tapi selepas fikir panjang, saya rasa tak berbaloi pun nak peduli apa orang cakap.”
Tambahnya, dia juga pernah diberi amaran awal oleh orang sekeliling supaya tidak menjalinkan hubungan dengan Muntazar, namun memilih untuk percaya dan memberi peluang ketika itu.
Namun, Saidah reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai pengajaran hidup yang mematangkan dirinya.
“Ramai dah nasihat dari awal, tapi saya tetap pilih untuk percaya. Akhirnya saya sendiri yang rasa akibatnya.
“Saya anggap ini semua ada hikmahnya. Fasa ini saya dah tutup, sekarang fokus teruskan hidup,” katanya.

Untuk rekod, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 5 Mei 2023 sebelum mengesahkan perpisahan mereka pada Mac lalu.
Mereka difahamkan sudah membawa haluan masing-masing sejak Oktober 2024.




