Saifuddin cabar pembangkang kemuka dasar alternatif

Saifuddin cabar pembangkang kemuka dasar alternatif

KULIM: Pembangkang dicabar mengemukakan dasar alternatif yang kononnya lebih baik berbanding dibuat kerajaan pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen, minggu depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembentangan berkaitan dasar kebajikan dan ekonomi oleh pembangkang itu boleh memberi peluang kepada rakyat untuk membuat perbandingan.

Katanya, kerajaan sudah mengumumkan dasar kebajikan bagi mengurangkan kos sara hidup antaranya penurunan harga petrol RON95, penambahan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan mengekalkan kadar tol di 10 lebuhraya.

“Itu dasar kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup. Pembangkang tidak setuju, suruh kita turun jadi bentangkan kepada rakyat apa dasar kebajikan mereka supaya rakyat boleh nilai.

“Mereka kata turun minyak enam sen tidak cukup, adakah pembangkang ada dasar lebih baik, katakan hendak turun sehingga 60 sen sebutlah mekanismenya biar rakyat buat perbandingan,” katanya pada sidang akhbar Sambutan Hari Ulang Tahun ke-53 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) 2025 di Dataran Kulim, hari ini.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, rakyat patut menolak budaya politik kotor ditunjukkan pembangkang yang hanya mengajar penyokongnya melakukan perkara negatif terhadap setiap pengumuman kerajaan.

“Biar kita bersaing secara dasar lawan dasar, kerajaan sudah tunjukkan dasar, umumkan program. Bagaimana mereka lawan? Mereka lawan dengan maki hamun, fitnah dan ajak rakyat berhimpun. Jadi rakyat tidak berpeluang untuk buat perbandingan.

“Maka saya cabar pembangkang tunjukkan dasar mereka, boleh bentang dalam Parlimen ketika perbahasan RMK13 minggu depan. Peluang terbentang luas kepada pembangkang untuk tampilkan dasar-dasar dan biar rakyat tengok,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan belum menerima maklum balas polis sekiranya berlaku pelanggaran atau aduan berkaitan isu 3R sepanjang ‘Himpunan Turun Anwar’ anjuran Perikatan Nasional (PN) di ibu negara, semalam.

Bagaimanapun, beliau menyedari terdapat peserta yang masih membawa anak-anak kecil meskipun larangan berbuat demikian telah ditegaskan sebelum perhimpunan itu diadakan.

“Tetapi yang jelas, mesejnya adalah ini bukti paling nyata bahawa kerajaan telah betul-betul menterjemahkan bahawa kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan untuk dinikmati oleh rakyat sudah pun terbukti kita laksanakan.

“Pihak keselamatan juga memberikan kawalan secara penuh tanggungjawab dan profesional, sementara kerajaan menterjemahkan komitmen secara terang-terangan, jaminan keamanan dan ketenteraman juga terbukti dapat kita berikan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top