Saifuddin Nasution diperintah bayar ganti rugi RM670,000 kepada Sanusi

Saifuddin Nasution diperintah bayar ganti rugi RM670,000 kepada Sanusi

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan kemenangan berpihak kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam saman fitnah yang difailkan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution kalah saman fitnah terhadap MB Kedah

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Keputusan itu menyaksikan Saifuddin diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada Sanusi selain kos mahkamah berjumlah RM70,000.

Saifuddin Nasution perlu buat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari

Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee turut mengarahkan Saifuddin menerbitkan permohonan maaf dalam media berbahasa Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari. Teks permohonan maaf itu pula perlu mendapat kelulusan Sanusi terlebih dahulu.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi kekal serta satu akujanji supaya defendan tidak lagi mengulangi kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif.

Dalam penghakiman, hakim menjelaskan kenyataan Saifuddin pada Julai 2023 semasa kempen Pilihan Raya Negeri Kedah jelas merujuk kepada Sanusi serta membawa maksud memfitnah.

“Defendan gagal membuktikan fakta substantif yang boleh mewajarkan kenyataan tersebut. Pembelaan justifikasi dan komen adil juga tidak dapat dipertahankan,” katanya.

Saifuddin Nasution

Artikel lain: “Bukan sebab mereka benci saya..”- Sanusi nafi penutupan kilang tayar Continental ada kaitan politik

Terdahulu, Sanusi menuntut jumlah lebih tinggi iaitu ganti rugi am RM2.5 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM2 juta. Namun, selepas penelitian, mahkamah hanya menganugerahkan ganti rugi global RM600,000.

Untuk rekod, pada Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin kerana mendakwa difitnah mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah serta menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Dakwaan itu dibuat ketika Saifuddin menyampaikan ceramah pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, Yan, pada 15 Julai 2023, menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kedah.

Sumber: Malaysia Gazette (Malinda Abdul Malik)

Scroll to Top