Saifuddin sifatkan LRT3 bukti komitmen kerajaan MADANI perkukuh pengangkutan awam

Saifuddin sifatkan LRT3 bukti komitmen kerajaan MADANI perkukuh pengangkutan awam

Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam disifatkan sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih moden, cekap dan bersepadu bagi memudahkan urusan harian rakyat.

Bantu kurangkan kesesakan jalan raya

Menerusi kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di media sosial, beliau menyatakan laluan baharu itu diwujudkan bagi mengurangkan kesesakan di antara koridor paling sibuk di Lembah Klang, selain meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi jaringan pengangkutan yang lebih efisien.

“Ia bukan sekadar menambah pilihan pengangkutan, malah membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kos perjalanan harian, khususnya bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja, institusi pengajian serta menjalankan urusan harian.
“Inilah antara pelaburan strategik kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memperkukuh jaringan pengangkutan awam negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan operasi LRT3 pada Ahad lalu mengumumkan tambang percuma bagi Laluan Shah Alam bermula 29 Jun hingga 31 Julai, termasuk perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad di sepanjang laluan tersebut.

Foto: Jabatan Perdana Menteri

Mengulas lanjut, Saifuddin mengajak orang ramai khususnya penduduk di Shah Alam, Klang, Subang dan kawasan sekitar jajaran LRT3 supaya mengambil peluang menikmati perkhidmatan itu sepanjang tempoh tambang percuma.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri kemudahan LRT3, malah menggalakkan lebih ramai beralih kepada penggunaan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian.

“Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam bersama bas perantara ini disediakan secara percuma sehingga 31 Julai 2026 supaya lebih ramai rakyat dapat merasai sendiri kemudahan ini dan beralih kepada penggunaan pengangkutan awam.
“Jadi kalau anda tinggal, bekerja atau belajar di sekitar laluan LRT3, inilah masanya! Tinggalkan kereta seketika, cuba naik LRT3 secara percuma hingga 31 Julai 2026. Naik sekali, Insya-Allah nak naik lagi,” katanya.

Sumber: Facebook Saifuddin Nasution Ismail 

Scroll to Top