Saiful Apek jaga privasi, anggap keluarga khazanah paling berharga

Saiful Apek jaga privasi, anggap keluarga khazanah paling berharga

puterialia@hmetro.com.my

Shah Alam: Pelakon dan pelawak, Saiful Apek, 57, mendedahkan dirinya bersikap terbuka ketika memberi nasihat dalam pelbagai isu, namun meletakkan garis sempadan jika membabitkan keluarganya.

Menurut Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, dia mahu mengelakkan sebarang perkara yang boleh mengganggu privasi keluarganya kerana menganggap mereka sebagai satu-satunya harta paling berharga yang dimilikinya ketika ini.

“Saya terbuka (berbicara mengenai apa-apa isu). Tetapi kalau boleh, saya nak elakkan benda-benda yang melibatkan keluarga.

“Saya nak keluarga menjadi khazanah saya yang satu-satunya. Yang lain saya dah tiada apa-apa, tetapi keluarga saya memang saya mahu abadikan dalam khazanah,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh perkongsiannya di aplikasi Threads seolah-olah menjadi platform untuk berdakwah, Apek berkata, apabila menyampaikan kebaikan itu sendiri sudah membawa kepada definisi dakwah.

“Pada saya, kita tidak perlu jadi ustaz atau ulama untuk menyampaikan satu kebaikan. Malah, ia termasuk dalam kerjaya saya sendiri atau apa-apa pekerjaan sekali pun.

“Kadang-kadang orang cuba nak asingkan atau bezakan antara kerja dengan ibadah. Ramai yang cakap ibadah itu ibadah, kerja itu kerja. Tetapi pada saya, kerja adalah ibadah, ibadah adalah kerja,” katanya.

Apek turut menegaskan dia tidak mengharapkan sebarang pujian atau penghargaan atas perkongsiannya di Threads itu.

“Saya bukan nak credit (pujian) apa-apa. Tetapi saya rasa dia punya relate (hubungan) dengan kerja saya yang menggembirakan orang dekat sangat.

“Kali ini mungkin bukan untuk komedi, tetapi ia lebih kepada sesuatu yang lebih matang seiring dengan umur saya.

“Jadi, saya terkejut bila mereka melihat perkara itu secara positif dan lebih berlapang dada. Saya rasa seronok di situ (Threads),” katanya.

Terdahulu, Apek dilihat sangat aktif menggunakan Threads sebagai medium untuk berkomunikasi secara dekat dengan peminat, malah turut menjadi kaunselor menerusi pesanan-pesanan membina kepada warga net.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top