Pelakon dan pelawak popular, Saiful Apek, meluahkan rasa kecewa apabila sahabat baiknya yang juga anggota kumpulan Senario, Yassin, masih belum dapat pulang ke tanah air seperti yang dijangkakan pada penghujung Ramadan lalu.
Yassin kini dilaporkan masih ditempatkan di sebuah pusat pemulihan di Arab Saudi, dan menurut Apek, terdapat beberapa urusan dokumentasi yang menyebabkan proses kepulangannya tertunda.
“Sebelum ini saya maklumkan dia akan balik sebelum Aidilfitri, tapi ini bukan urusan biasa. Ia melibatkan prosedur antara dua negara.
“Masih ada beberapa perkara seperti visa, tiket penerbangan dan proses pemindahan yang perlu diselesaikan. Saya sendiri tak tahu detailnya, tapi apa yang saya diberitahu, Insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya.
Apek juga berkongsi dia kerap berhubung dengan keluarga Yassin dan mengikuti rapat perkembangan sahabatnya itu.
Jelasnya, dia tidak sabar menanti detik untuk menyambut kepulangan Yassin, walaupun tahu sahabatnya itu memerlukan masa untuk berehat terlebih dahulu.
“Bila dia sampai nanti, saya memang akan jadi orang pertama yang sambut dia. Tapi dalam masa yang sama, saya rasa kita kena beri dia ruang untuk tenangkan diri dulu.
“Saya tahu dia ada banyak benda nak cerita, dan saya memang tak sabar nak dengar sendiri dari mulut dia,” tambahnya lagi.
Apek ditemui ketika menghadiri Malam Gala Tayangan Perdana Filem 6 Jilake, yang berlangsung di GSC Mid Valley Megamall malam tadi.
Apek turut menegaskan adalah lebih baik jika Yassin sendiri yang tampil menceritakan apa sebenarnya yang berlaku, berbanding membiarkan pelbagai spekulasi dan tuduhan terus berlegar dalam masyarakat.
“Saya tak nak orang terus buat andaian. Biarlah Yassin sendiri yang jelaskan, itu lebih adil. Mungkin ada banyak perkara yang kita tak tahu,” katanya.
Menurut Apek lagi, undang-undang di Arab Saudi memang terkenal dengan ketegasannya, dan jika benar seseorang melanggar undang-undang di sana, hukuman berat termasuk hudud boleh dikenakan.
“Sebab itu bila dia dibebaskan, saya percaya pasti ada sesuatu yang kita tak tahu. Mungkin berlaku salah faham atau isu yang tak didedahkan,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelawak tempatan telah ditahan di Jeddah, Arab Saudi selepas dipercayai memiliki dadah jenis ganja.
Identiti pelawak tersebut tidak didedahkan, namun difahamkan individu itu dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan berpeluang dibebaskan lebih awal sekiranya menunjukkan kelakuan baik sepanjang tempoh tahanan.




