Pelawak Saiful Apek menjelaskan gambar yang tular semalam itu bukan dia ditahan sebaliknya pihak polis cuba meleraikan perselisihan antara dia dengan seorang individu tidak dikenali.
Memetik Harian Metro, Apek berkata individu tersebut bukan saja menghina filem 6 Jilake ‘sampah’ tetapi turut melemparkan kata-kata tidak baik terhadap pengarah filem berkenaan, Aziz M Osman.
BACA: Azlee Nafi Saiful Apek Ditahan
“Individu dalam foto itu memang saya, cuma saya tidak ditahan seperti yang dilaporkan. Gambar itu diambil ketika pihak polis sedang meleraikan ketegangan yang berlaku.
“Ia bermula apabila individu berkenaan melemparkan kata-kata tidak baik mengenai abang saya, Aziz M Osman, serta mendakwa filem ini ‘sampah’. Kalau setakat sebut nama saya saja, saya masih boleh kawal emosi, tetapi ini membabitkan individu yang saya anggap sebagai sifu,” katanya.
Sementara itu, Apek berkata kejadian itu berlaku ketika dia menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Cheras.
Tambah Apek lagi, provokasi tersebut membuatkan dia hilang sabar dan beredar dari majlis namun ianya masih berterusan ketika dia mahu ke parkir kereta.
“Ketika kejadian, saya hadir ke rumah terbuka Tan Sri Razarudin. Tiba-tiba, seorang individu tidak dikenali membuat provokasi mengenai filem itu sehingga menyebabkan saya hilang sabar.
“Saya bangun dan beredar kerana tidak mahu mengganggu majlis. Saya sangka perkara itu sudah selesai, namun ketika saya menuju ke parkir kereta, individu berkenaan masih terus melakukan provokasi. Melihat ketegangan itu pihak polis datang dan meleraikannya,” katanya.
Dalam pada itu, Apek Apek turut memohon maaf kepada ahli keluarga serta sahabat yang terkejut dengan berita berkenaan, terutama sahabatnya, Azlee.
“Apa yang paling saya risau, ramai menghubungi ahli Senario, khususnya Azlee yang kita sedia maklum mempunyai masalah jantung,” katanya.
SUMBER: Harian Metro