Saingan MotoGP kembali ke Brazil

Saingan MotoGP kembali ke Brazil

Paris: Brazil akan kembali ke kalendar Kejuaraan Dunia MotoGP bermula 2026, dengan jaminan menjadi tuan rumah sekurang-kurangnya selama lima tahun, menurut pengumuman penganjur kejohanan.

Perlumbaan akan berlangsung di Litar Goiania, yang kini dinamakan sempena legenda Formula Satu (F1) Brazil, Ayrton Senna.

Litar itu, terletak kira-kira 200 kilometer (km) di barat daya ibu kota Brasilia, yang pernah menjadi tuan rumah MotoGP dari 1987 hingga 1989 sebelum pusingan Brazil dipindahkan ke Litar Interlagos berhampiran Sao Paulo.

Perlumbaan terakhir di Brazil berlangsung pada 2004.

“MotoGP berhasrat untuk memperluaskan penontonnya secara besar-besaran dalam musim-musim akan datang, dan Brazil serta Amerika Selatan adalah pasaran utama yang mempunyai banyak potensi,” kata pihak penganjur, Brasil Motorsport, dalam satu kenyataan.

Amerika Selatan kini berada dalam senarai destinasi MotoGP dengan Argentina menjadi salah satu daripada 22 pusingan Kejuaraan 2025.

Namun, masa depan perlumbaan itu masih tidak menentu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top