Sains dan alam sekitar

ALLAH S.W.T mencipta alam, dan manusia dipertanggungjawabkan untuk mengurus alam. Sabda Baginda S.A.W:

Advertisement

إنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ، وإنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كيفَ تَعْمَلُونَ

“Sesungguhnya dunia ini cantik lagi menghijau, dan sesungguhnya Allah telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah S.W.T:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

“Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

(Hud: 61)

Inisiatif Kerajaan Negeri Perak melalui Perak Bumi Lestari, merangkumi tiga aspek penting seperti:

1. Alam sekitar (Environment).
2. Ekonomi (Economic).
3. Sosial (Equities).

Jika kita perhatikan, ketiga-tiga elemen ini sejajar dengan apa yang pernah dikemukakan oleh Ibnu Khaldun dalam karyanya yang bertajuk ‘al Muqaddimah’.

Ketiga-tiga elemen ini menurut beliau, menjadi asas dalam pembinaan sebuah negara yang unggul. Selaras dengan firman Allah S.W.T:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ 

“… negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.”

(Saba’: 15)

Iaitu negeri yang baik yang mendapat keredhaan Allah S.W.T. Negeri ini disifatkan dengan ketamadunan dari sudut sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitarnya.

Kita perlu sedar bahawa sains itu bermula dengan kehebatan ciptaan Allah S.W.T. Ilmu ilmu yang berkaitan sains lahir daripada kajian manusia terhadap ciptaan-ciptaan Allah S.W.T:

a. Contohnya ilmu hidro yang selaras dengan dengan firman Allah S.W.T:

وَجَعَلْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ شَامِخَاتٍ وَأَسْقَيْنَاكُم مَّاءً فُرَاتًا

“Dan Kami telah jadikan di bumi: Gunung-ganang yang menetapnya, yang tinggi menjulang; dan Kami telah memberi minum kepada kamu air yang tawar lagi memuaskan dahaga?”

(al-Mursalat: 27)

Dalam ayat ini jelas menyebut mengenai kitaran air yang berkaitan dengan bukit-bukau yang menjadi tadahan hujan. Kemudian diturunkan melalui sungai-sungai dan menjadi minuman. 

b. Bukan sekadar itu, di sini jugalah manusia memanfaatkannya dengan menjana hidro elektrik bagi membekalkan tenaga elektrik untuk keperluan manusia.

Allah S.W.T juga menjadikan lautan itu mampu mengapungkan kapal yang berlayar di atasnya:

اللَّهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.”

(al-Jathiyah: 12)

Di sini kita boleh perhatikan bagaimana dengan laut Allah S.W.T memberikan rezeki kepada manusia. Sama ada melalui hasil tangkapan para nelayan, atau memudahkan urusan manusia dari sudut perdagangan import dan eksport.

c. Hari ini kita melihat besi merupakan keperluan manusia untuk menghasilkan ciptaan dan binaan. Allah S.W.T menceritakan mengenai besi;

وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

“…… dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

(al-Hadid: 25)

Allah S.W.T menceritakan mengenai besi, yang digunakan oleh manusia untuk pelbagai kegunaan. Sama ada untuk keperluan harian seperti berburu atau bercucuk tanam untuk hasilkan makanan. Begitu juga kenderaan dan jentera berat termasuk kapal terbang. Termasuk juga digunakan sebagai senjata.

Senjata merupakan keperluan untuk mempertahankan negara, atau mewujudkan negara yang kondusif serta selamat. Inilah yang menjadi salah satu ciri negara unggul yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun. Senjata senjata ini terhasil daripada besi.

Justeru, sistem ini juga berkaitan dengan alam sekitar. Di sinilah kita fahami mengenai konsep sains dan kesemulajadian alam, yang diciptakan oleh Allah S.W.T, untuk diterokai oleh manusia.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 15/8/2021