London: Legenda Chelsea, John Terry, berkata pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka, ‘tidak menyukai’ bermain menentang Marc Cucurella dan pertarungan sengit itu boleh menjadi faktor penentu keputusan derbi London.
Arsenal kini mengekalkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris EPL dan mendahului carta dengan kelebihan enam mata berbanding Chelsea yang berada di tangga ketiga menjelang pertemuan yang dinanti-nantikan di Stamford Bridge awal pagi nanti.
Manchester City memastikan tekanan terhadap Gunners terus berterusan di puncak liga dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Leeds pada hari Sabtu, keputusan yang mengekalkan pasukan kendalian Pep Guardiola hanya empat mata di belakang peneraju liga.
Selepas tiga kali menamatkan saingan di tempat kedua secara berturut-turut, skuad kendalian Mikel Arteta kini dianggap sebagai pasukan pilihan untuk menjulang trofi berprestij musim ini – 22 tahun selepas kejayaan terakhir mereka di bawah bimbingan Arsene Wenger.
Dengan Arsenal mempunyai rekod pertahanan terbaik dalam lima liga teratas Eropah musim ini, kekalahan 1-0 di tempat lawan menentang Liverpool pada Ogos lalu kekal sebagai satu-satunya kekalahan mereka selepas 12 perlawanan.
Skuad utara London itu juga pasti berasa yakin dengan kemenangan mereka yang mengesankan di gelanggang sendiri menentang Bayern Munich minggu ini, sebuah pasukan yang mereka tidak pernah kalahkan dalam lebih sedekad.
Arsenal bukan satu-satunya pasukan Inggeris yang menonjol di Liga Juara-Juara minggu ini, apabila Chelsea turut menundukkan Barcelona dengan kemenangan cemerlang hanya 24 jam sebelumnya di ibu kota.
Keputusan itu datang pada masa yang sesuai bagi pasukan kendalian Enzo Maresca, yang nampaknya semakin menemukan rentak selepas permulaan musim yang agak tidak konsisten sama ada di liga domestik mahupun di Eropah.
Maresca turut menerima suntikan semangat dengan kemungkinan kembalinya Cole Palmer, yang berpotensi mendapat minit permainan pertama sejak pertengahan September apabila Chelsea mengatasi Manchester United.
“Ini satu dorongan besar untuk kelab bola sepak apabila mempunyai pemain bertaraf tinggi kembali terbabit,” kata bekas kapten Chelsea, Terry, mengenai pembabitan Palmer di laman TikToknya.
“Tapi yang lebih penting untuk dirinya, berpotensi mendapat 20 hingga 30 minit permainan supaya dia bersedia untuk baki musim ini.”
Terry, yang lima kali menjuarai EPL bersama Chelsea, menambah: “Pengurus mempunyai beberapa keputusan besar untuk dibuat selepas persembahan hebat menentang Barcelona minggu ini. Adakah dia akan mengekalkan kesebelasan utama yang sama?
“Adakah Joao Pedro akan bermain di tengah sebagai nombor sembilan atau mungkin Liam Delap? Adakah Pedro Neto akan dialihkan ke kiri dan Alejandro Garnacho di kiri juga mungkin?
“Saya tidak pasti, tetapi apa sahaja yang dilakukan pengurus dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pastinya tepat dan saya yakin dia akan membuat keputusan yang sama hujung minggu ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




