am@hmetro.com.my
Jitra: Luluh hati seorang bapa apabila anak perempuan bongsunya daripada dua beradik disahkan menghidap ketumbuhan di kepala atau Posterior Fossa Tumor with Hydrcephalus, bulan lalu.
Mohd Shahrizal Zainuddin, 33, berkata keadaan itu menyebabkan kepala Nur Naaila Shaheen Mohd Shahrizal, 3, membesar kerana dipenuhi cecair.
Menurutnya, dia akan melakukan yang terbaik buat anaknya termasuk berkorban mengambil cuti untuk membantu isteri, Nur Najwa Mohd Azlan, 29, menjaganya yang memerlukan perhatian sepanjang masa.
Katanya, pada mulanya Nur Naaila dikesan menghidap ketumbuhan apabila sering terjatuh ketika berjalan selain memberitahu sakit kepala.
“Kerana bimbang, saya dan isteri membawanya ke Klinik Desa Telok Malek, dekat sini sebelum mereka merujuknya ke Klinik Kesihatan Jitra.
“Namun, doktor meminta saya membawa Nur Naaila ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bertemu doktor pakar untuk melakukan rawatan lanjut.
“Pakar kemudian melakukan pemeriksaan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) sebelum dimaklumkan ada cecair di kepala anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telok Malek, di sini, semalam.
Mohd Shahrizal berkata, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan Nur Naaila mempunyai ketumbuhan di pangkal otak di mana dia mengalami bengkak di kepala disebabkan ada cecair terkumpul.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan anaknya hilang upaya, mengalami masalah penglihatan, tangan ketar dan berlaku renjatan otot.
“Sebahagian cecair di kepalanya sudah dibuang di HSB pada 19 Mei lalu dan doktor memberitahu anak saya perlu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala pada Ogos ini.
“Saya hanya bekerja memandu mesin padi dengan pendapatan tidak menentu, manakala isteri pula tidak bekerja.
“Sejak anak sakit, kami terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk fisioterapi dan memerlukan wang,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Sharif Najmi berusia sembilan tahun.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB 7624921797 atas nama Nur Najwa Mohd Azlan.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, sempena Hari Bapa, pihaknya menziarahi Mohd Shahrizal untuk melihat pengorbanan seorang bapa yang menjaga anaknya yang sedang sakit.
“Kita turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur selain akan menghadiahkan kerusi sorong untuk memudahkan mereka membawa Nur Naaila menjalani rawatan di hospital,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd