'Sakit bukan alasan, jangan malas dan teruskan usaha'

'Sakit bukan alasan, jangan malas dan teruskan usaha'

am@hmetro.com.my

Puchong : “Tiga tahun saya tak pergi sekolah, tapi saya tetap nak ambil SPM.”

Itu kata Muhammad Faiq Sufyan bin Mohammed Yusof, 20, yang membuktikan kekangan kesihatan bukan penghalang untuk terus berjuang dalam pelajaran.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana itu berdepan ujian besar apabila mengalami komplikasi selepas pembedahan skoliosis sehingga menyebabkan kecederaan saraf tunjang.

Keadaan itu memerlukannya menjalani rawatan di hospital selama lapan bulan selain tidak dapat hadir ke sekolah hampir tiga tahun.

“Bila stres, kaki saya akan sakit dan kejang, ada masa saya tak boleh berjalan langsung,” katanya.

Lebih mencabar, Muhammad Faiq terpaksa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hospital kerana keadaannya yang tidak stabil.

Menurutnya, sepanjang tempoh tidak bersekolah, dia hanya bergantung kepada pembelajaran kendiri melalui telefon dan ulang kaji sendiri.

“Saya belajar bila ada masa dan kalau penat saya rehat. Ubat pula buat saya cepat mengantuk,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Faiq tetap cekal meneruskan usaha demi membalas pengorbanan ibu bapanya.

“Saya selalu fikir mak ayah. Itu yang buat saya teruskan juga,” katanya.

Kini, dia bersyukur kerana berjaya menamatkan SPM walaupun tidak memperoleh keputusan cemerlang.

Baginya, kejayaan sebenar bukan pada gred, tetapi usaha untuk bangkit walaupun diuji.

“Sakit bukan alasan, jangan malas dan teruskan usaha,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top