Sakit perut makan tengah hari, 2 jam kemudian bersalin

Sakit perut makan tengah hari, 2 jam  kemudian bersalin

Beijing: Seorang wanita di Ezhou tengah China mengalami sakit perut selepas makan tengah hari dan pergi ke hospital dengan menaiki motosikal elektrik, namun dikejutkan dengan berita dirinya sedang hamil – dan melahirkan bayi lelaki hanya sejam kemudian.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan kejadian mengejutkan itu berlaku pada 16 Jun lalu di Ezhou, wilayah Hubei dan menjadi topik tular di media sosial China.

Wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Li, pada mulanya menyangka sakit perut itu berpunca daripada makan berlebihan. Namun apabila kesakitan berpanjangan, dia mengambil keputusan ke hospital, kira-kira 2 petang.

Ketika sedang menjalani pemeriksaan ultrabunyi, Li tiba-tiba mengalami sakit perut yang semakin kuat, disusuli kontraksi rahim secara berkala dan air ketubannya pecah.

Hospital segera memanggil pasukan perbidanan dan pada 3.22 petang, Li selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.5 kilogram secara normal.

Li kemudian dipindahkan ke pusat kesihatan bandar untuk pemantauan lanjut.

“Saya sangat terkejut apabila doktor beritahu saya mengandung. Saya betul-betul bingung,” katanya.

Menurut Li, dia tidak menyedari haidnya tidak datang, kerana memang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur sejak dahulu.

Li yang sudah mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun berkata, dia dan suami tidak merancang untuk menambah anak dan mengakui mereka berhati-hati dalam hal perancangan keluarga.

Meskipun berat badannya naik dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Li langsung tidak mengalami simptom kehamilan biasa seperti muntah atau loya.

“Masa anak pertama dulu, saya selalu muntah pagi, tetapi kali ini tak ada langsung. Saya pun selalu bawa motosikal elektrik ke sana sini. Tapi syukur, bayi sihat – nampak betul dia kuat dan tahan lasak,” katanya sambil tersenyum.

Suaminya yang bekerja di bandar lain bergegas pulang ke Ezhou selepas menerima panggilan dari hospital untuk menjaga Li dan bayi mereka.

Kisah wanita yang hanya menyedari diri hamil beberapa jam atau sehari sebelum bersalin sering menjadi tumpuan netizen di China.

Pada Mac lalu, seorang ‘blogger’ dari Jiangsu berkongsi pengalaman melahirkan anak lelaki sehari selepas baru mengetahui dirinya mengandung.

Januari lepas, seorang wanita yang pernah disahkan mandul akibat masalah rahim di timur China melahirkan anak hanya empat jam selepas mengetahui dia sedang hamil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top