Saksi dengar bunyi penggera, lega pelajar SMK Tinggi Setapak selamat

Saksi dengar bunyi penggera, lega pelajar SMK Tinggi Setapak selamat

Kuala Lumpur: Saksi yang tinggal berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di sini, memaklumkan terdengar bunyi penggera kebakaran ketika blok asrama sekolah itu terbakar.

Muzelysham Mustafa, 51, berkata, bunyi itu didengari anaknya yang kemudian segera memaklumkan kepadanya.

Beliau yang arif akan selok-belok kawasan sekolah itu kerana isterinya merupakan bekas guru di situ, segera ke blok asrama terbabit untuk memeriksa sekiranya ada pelajar yang masih berada di dalam bangunan, namun lega apabila mendapati ia kosong.

“Saya dan anak lelaki saya turut cuba menggunakan alat pemadam api yang ada untuk mengawal kebakaran, namun api marak terlalu cepat,” katanya.

Seorang lagi saksi, Muhamad Adha Mikail, 17, berkata, beliau sedang mengambil wuduk di surau blok lain sebelum terdengar bunyi kaca pecah dan ternampak api di bangunan asrama yang didiaminya.

“Saya kemudian masuk semula ke dalam surau dan memaklumkan kepada pelajar lain sebelum warden asrama menekan loceng penggera kecemasan,” katanya.

Kesemua pelajar kemudian berlari dari surau ke kawasan selamat iaitu di tapak perhimpunan sekolah berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati sebahagian ibu bapa pelajar terbabit mula hadir ke sekolah untuk membawa pulang anak masing-masing sebaik mendapat tahu mengenai kejadian itu.

Solat berjemaah di surau selamatkan 90 pelajar SMK Tinggi Setapak

Asrama pelajar SMK Tinggi Setapak terbakar

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top