Salah akan kembali berbisa

Salah akan kembali berbisa

Liverpool: Arne Slot yakin Mohamed Salah akan kembali menemui sentuhan jaringan selepas penyerang Liverpool itu mengharungi enam perlawanan tanpa gol untuk kelabnya.

Penyerang antarabangsa Mesir itu belum menjaringkan gol Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada permainan terbuka sejak minggu pembukaan musim ini dan digugurkan daripada kesebelasan utama ketika kemenangan 5-1 Liverpool ke atas Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.

Dia juga digantikan lewat ketika tewas 1-2 kepada Manchester United di Anfield minggu lalu selepas mensia-siakan dua peluang besar, walaupun pasukannya sedang terdesak mencari gol penyamaan.

Pengurus Liverpool, Slot yang pasukannya akan menentang Brentford pada awal pagi Ahad berkata, beliau tidak tahu mengapa Salah, pemenang Kasut Emas EPL musim lalu, kini bergelut.

“Secara umum, dalam bola sepak, pemain memang kadang-kadang terlepas peluang, dan Mo juga manusia,” katanya pada sidang media pra-perlawanan hari ini.

“Kita tidak biasa melihat dia terlepas peluang, apatah lagi beberapa perlawanan berturut-turut, tetapi perkara seperti ini boleh berlaku.”

Namun pengurus dari Belanda itu yakin Salah, yang hanya menjaringkan dua gol EPL dalam lapan perlawanan musim ini, akan menemui semula ketajamannya.

“Perkara terakhir yang saya risaukan ialah bila Mo akan mula menjaringkan gol semula,” katanya.

“Kerana itu yang dia lakukan sepanjang hidupnya, dan saya menjangkakan dia akan terus melakukannya dalam minggu dan bulan akan datang untuk kelab kami.”

Liverpool menjuarai EPL musim lalu dan membelanjakan kira-kira £450 juta (RM2.53 bilion) untuk pemain baharu dalam jendela perpindahan musim panas.

Pemergian Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid, digabungkan dengan kecederaan menyebabkan beberapa pemain berbeza digunakan di posisi bek kanan, termasuk Dominik Szoboszlai yang biasanya bermain di tengah.

Slot mengakui pasukannya masih dalam proses menyesuaikan diri, termasuk Salah berusia 33 tahun, yang beraksi di bahagian kanan serangan Liverpool.

“Dia sering berada di posisi yang berpotensi menjaringkan gol, tetapi mungkin dengan Trent di sana, dia mendapat lebih banyak peluang, saya tidak pasti,” katanya.

“Namun secara umum, apabila pasukan mengalami banyak perubahan pemain pada musim panas, setiap orang perlu membina semula hubungan di atas padang, dan itu mengambil masa. Mo tidak terkecuali.”

Liverpool, yang memulakan musim dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, kini tewas dalam tiga perlawanan terakhir EPL dan berada di tempat keempat, empat mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Jeremie Frimpong dan penjaga gol Alisson Becker diketepikan daripada perlawanan menentang Brentford akibat kecederaan hamstring, sementara Slot masih menunggu perkembangan terkini mengenai Alexander Isak (masalah pangkal paha) dan Ryan Gravenberch (kecederaan otot).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top