Salah bawa Mesir sah ke pusingan kalah mati

Salah bawa Mesir sah ke pusingan kalah mati

Agadir, Maghribi: Mohamed Salah meledak jaringan ketika Mesir yang beraksi dengan 10 pemain menewaskan Afrika Selatan 1-0 di Agadir awal pagi tadi, sekali gus muncul pasukan pertama mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Negara-Negara Afrika 2025.

Bintang Liverpool itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45, manakala Afrika Selatan dinafikan penalti lewat separuh masa kedua apabila Yasser Ibrahim dilihat menyentuh bola di dalam kotak penalti.

Salah tiba di Maghribi selepas tidak diturunkan dalam lima perlawanan bersama Liverpool, dengan penggugurannya mencetuskan ketegangan sehingga dia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurus, Arne Slot.

Mesir terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila bek kanan, Mohamed Hany, dilayangkan kad kuning kedua susulan kekasaran, sebelum diperintah keluar padang.

Selepas dua perlawanan Kumpulan B, juara tujuh kali Afrika itu mengumpul enam mata untuk mengesahkan kedudukan dua teratas dan slot ke pusingan 16 terakhir.

Afrika Selatan mengutip tiga mata, manakala Angola dan Zimbabwe masing-masing satu mata selepas kedua-duanya terikat 1-1 dalam satu lagi perlawanan di Marrakesh.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Ia perlawanan sukar kerana mereka menguasai permainan untuk tempoh yang lama. Kami ada pelan permainan yang baik dan ia menjadi.

“Kami membawa pulang tiga mata dan itu paling penting. Suasana di stadium sangat luar biasa. Harap kami dapat teruskan momentum ini,” kata Salah.

Jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil.

“Penalti yang diberikan kepada Mesir langsung tidak munasabah. Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, sendiri berkata dia terkejut dengan keputusan itu.

“Bagi situasi penalti yang tidak diberikan kepada kami di penghujung perlawanan, tangan pemain Mesir jelas terhulur dan bola terkena lengannya. Itu penalti,” katanya.

Peluang pertama perlawanan hadir buat Salah pada minit ke-11, namun dia gagal menyambut hantaran rendah Mohamed Hany akibat kelewatan membuat pergerakan.

Sokongan padu penyokong Mesir jelas kelihatan apabila pengadil dari Burundi tidak melayan rayuan Zizo untuk sepakan percuma, dengan sorakan dan siulan kuat memenuhi stadium sejurus selepas itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top