London: Mohamed Salah akhirnya mendedahkan rahsia di sebalik gaya baharunya meraikan gol yang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong Liverpool.
Walaupun masa depannya di Anfield masih menjadi perdebatan hangat, Salah enggan ia menjejaskan prestasinya di atas padang apabila memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024-25 dengan bergaya.
Dia menjaringkan gol dalam dua perlawanan pertama ketika menang 2-0 ke atas Ipswich Town dan Brentford.
Selepas menembusi gawang lawan, Salah meraikan jaringannya dengan gaya baharu seperti pemanah melepaskan anak panah yang sekali gus menarik perhatian penonton khususnya penyokong Liverpool.
Enggan membiarkan peminat terus berteka teki dengan gaya baharunya itu, Salah menjelaskan bagaimana dia boleh mendapat idea untuk melakukan cara itu.
“Sebenarnya saya melihat aksi UFC di antara Pereira menentang Adesanya dan selepas menang pertarungan kedua menentang Pereira dia meraikan kemenangan dengan cara seperti itu,” kata Salah kepada media hari ini.
“Saya suka dan tertarik dengan cara itu dan itu punca saya meIakukannya. Saya peminat UFC tetapi ada orang berpendapat ia juga dilakukan oleh Firaun Mesir ketika melukis sesuatu di kuil atau di piramid.”
Adesanya meraikan kemenangan dengan gaya seorang pemanah selepas menewaskan Pereira dalam pertarungan kedua pada 8 April 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




