Kaherah: Jika dulu setiap perlawanan Liverpool membuatkan sebuah kafe di kejiranan Shoubra penuh sesak, kini suasananya suram.
Dengan Mohamed Salah terus dipinggirkan, peminat Mesir lebih rela bermain kad atau melayan telefon daripada menonton The Reds beraksi.
Salah, ikon bola sepak Mesir dan ‘Raja Mesir’ di Anfield, melontarkan kritikan luar biasa terhadap pengurus Arne Slot selepas diketepikan tiga perlawanan berturut-turut.
Dia mendakwa ‘dikorbankan’ oleh kelab yang dibelanya hampir lapan tahun.
Kemarahan itu memecahkan pendapat peminat Liverpool di seluruh dunia, namun di kafe Shoubra, pendirian mereka jelas, mereka berdiri bersama Salah.
“Kami sedih, sudah tentu,” kata Adel Samy, 40, yang mengimbau bagaimana kafe itu pernah penuh melimpah setiap kali Salah bermain.
Malam Selasa, ketika Liverpool bertemu Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara, hanya beberapa pelanggan duduk di meja usang, sebahagian besar tidak memandang langsung ke skrin.
“Dia tak layak diperlakukan begini,” katanya kepada AFP.
Islam Hosny, 36, yang membantu menguruskan kafe keluarga, berkata suasana dahulu ibarat derbi Ahly–Zamalek.
Sejak tiba di Anfield pada 2017, Salah mengangkat Liverpool kembali ke puncak bola sepak Eropah, dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, satu Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.
Dengan 250 gol dalam 420 penampilan, dia kini penjaring ketiga terbanyak kelab.
Namun musim ini, prestasinya merosot, lima gol dalam 19 perlawanan, dan Liverpool hanya menang lima daripada 16 aksi terakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd

