Marseille: Liverpool melangkah ke arah kelayakan automatik ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Marseille dengan kembalinya Mohamed Salah dalam kesebelasan utama.
Dominik Szoboszlai menghadiahkan kelebihan buat juara Eropah enam kali itu tepat sebelum rehat, sebelum jaringan sendiri penjaga gol Marseille, Geronimo Rulli dan sentuhan penyudah Cody Gakpo memastikan kemenangan selesa The Reds pada babak kedua.
Anak buah Arne Slot yang kini tidak tewas dalam 13 perlawanan berturut-turut melonjak ke tangga keempat carta liga membabitkan 36 pasukan, sekali gus berada di landasan terbaik untuk menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas.
Liverpool bakal mengesahkan kedudukan itu sekiranya mencatat kemenangan ke atas wakil Azerbaijan, Qarabag, pada perlawanan terakhir peringkat liga di Anfield minggu depan.
“Kami sentiasa bercakap perkara sama selepas kemenangan atau keputusan positif,” kata kapten Liverpool, Virgil van Dijk, ketika mengulas usaha pasukan membina momentum dalam musim yang mencabar setakat ini.
“Sekarang fokus sepenuhnya kepada pemulihan sebelum berdepan Bournemouth pada Sabtu. Mereka pasukan yang sukar ditewaskan dan kami perlu benar-benar bersedia. Kami pulang esok dan teruskan fokus ke perlawanan seterusnya,” katanya.
Sebaliknya, persembahan hambar dipamerkan Marseille kendalian Roberto De Zerbi menyaksikan pasukan Perancis itu tergelincir ke tangga ke-19, sekali gus masih berdepan tugas sukar ketika bertandang ke Club Brugge dalam perlawanan terakhir liga bagi memburu slot ke pusingan play-off kalah mati.
Salah membuat penampilan pertama sebagai pemain utama Liverpool sejak November, selepas sebelum ini diketepikan oleh Slot sebelum membantu Mesir mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika.
Penyerang Mesir itu sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan mendakwa kelab ‘mengorbankannya’, situasi yang membawa kepada pengguguran namanya daripada skuad bagi perlawanan UCL menentang Inter Milan.
The Reds memulakan aksi dengan tempo tinggi di Stade Velodrome, namun Joe Gomez terlepas peluang menamatkan penantian panjang untuk gol sulung di peringkat senior apabila tandukannya hasil sepakan sudut tersasar.
© New Straits Times Press (M) Bhd



