Salah layak terima sambutan perpisahan mega

Salah layak terima sambutan perpisahan mega

Liverpool: Arne Slot berkata Mohamed Salah ‘layak menerima sambutan perpisahan besar-besaran’ sambil menjangkakan pemain bintang yang bakal meninggalkan pasukan itu akan kembali daripada kecederaan sebelum musim berakhir.

Penyerang Mesir itu, yang akan meninggalkan Anfield pada penghujung kempen, terpaksa dikeluarkan ketika kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace hujung minggu lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa dia mungkin sudah bermain perlawanan terakhir bersama The Reds.

Salah yang kelihatan beremosi melambai kepada penyokong dan diberikan tepukan gemuruh ketika berjalan keluar dari padang.

Namun, Liverpool mengesahkan awal minggu ini bahawa pemain berusia 33 tahun itu hanya mengalami ‘kecederaan otot ringan’ dan dijangka kembali beraksi.

Anak buah Slot akan bertandang menentang seteru tradisi, Manchester United pada Ahad ini selepas mencaat tiga kemenangan berturut-turut yang hampir memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Kami menjangkakan dia kembali pada penghujung musim, tetapi bukan untuk Ahad ini.

“Dalam semua aspek, ia satu kelegaan kerana kecederaannya ringan, jadi dia masih boleh bermain untuk kami dan juga di Piala Dunia.

“Dan jika ada pemain yang layak mendapat perpisahan secara besar-besaran, sudah tentu Mo,” kata Slot dalam sidang media pra-perlawanan.

Salah sudah menjaringkan 257 gol dalam 440 penampilan sejak tiba di Anfield pada 2017, hanya di belakang Ian Rush dan Roger Hunt dalam senarai penjaring terbanyak Liverpool.

Dia pernah berselisih faham secara terbuka dengan Slot pada Disember lalu, dengan menyatakan dia ‘tiada hubungan’ dengan jurulatih dari Belanda itu selepas digugurkan dalam tiga perlawanan berturut-turut, namun kembali semula ke dalam pasukan tidak lama kemudian.

Liverpool, yang menyaksikan usaha mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musnah sejak hujung September, masih berbaki empat perlawanan, bermula dengan aksi menentang United.

The Reds kini berada di tangga keempat, tiga mata di belakang United di tempat ketiga tetapi lapan mata di hadapan Brighton & Hove Albion di tangga keenam.

Lima pasukan teratas akan layak secara automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top