Agadir, Maghribi: Mohamed Salah menjaringkan gol ketika Mesir mencatat kemenangan 3-2 ke atas juara bertahan Ivory Coast untuk menyingkirkan lawan mereka dalam aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang mendebarkan pada Sabtu.
Omar Marmoush dan Ramy Rabia meledak jaringan untuk Mesir, sebelum Ahmed Aboul-Fetouh menghadiahkan gol sendiri kepada Ivory Coast sebelum tamat separuh masa pertama.
Salah kemudian semakin hampir untuk meraih pingat juara AFCON pertamanya apabila menambah kelebihan Mesir sejurus selepas rehat, sebelum Guela Doue merapatkan jurang buat Ivory Coast.
Namun, kebangkitan itu tidak mencukupi buat penyandang juara.
Mesir yang ceria akan bertemu Senegal pada Rabu di Tangiers, dengan pemenang perlawanan itu bakal berdepan sama ada tuan rumah Maghribi atau Nigeria empat hari kemudian dalam perlawanan akhir.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan kejayaan mara ke separuh akhir,” kata Salah.
“Saya bangga menyarung jersi pasukan kebangsaan Mesir dan semua pemain sedar akan tanggungjawab yang datang bersamanya”.
Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan, merakamkan penghargaan kepada para pemainnya dengan menyifatkan mereka sebagai “orang Mesir sejati” yang berjuang demi kebahagiaan rakyat mereka.
Beliau menambah: “Kejayaan ini milik para pemain, bermula dengan Salah dan Marmoush yang memimpin tekanan dari hadapan. Kami tahu akan ada ruang, dan pemain kami mampu memanfaatkannya”.
Kemenangan di Agadir itu mengesahkan penguasaan Mesir ke atas Ivory Coast dalam AFCON sejak pertemuan pertama mereka 56 tahun lalu.
Salah sudah membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab (format lama), namun pingat paling berprestij di peringkat Afrika masih belum menjadi miliknya.
Pemain berusia 33 tahun itu dua kali muncul naib juara selepas tewas di final AFCON kepada Cameroon pada 2017 dan Senegal lima tahun kemudian.
Kini, dia hanya dua perlawanan lagi daripada merealisasikan impiannya untuk membantu Mesir menjuarai AFCON buat kali kelapan, sekali gus memanjangkan rekod kejuaraan mereka.
Salah tiba di Maghribi dalam suasana tidak menentu mengenai masa depannya bersama Liverpool susulan luahan emosinya selepas perlawanan seri menentang Leeds, apabila dia diturunkan sebagai pemain simpanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



