Pelakon Intan Ladyana berkata dia tidak menyokong perbuatan salah berhubung dakwaan suaminya, Harris Aliff berlaku curang bersama seorang wanita dalam permainan video online.
Memetik Harian Metro, Intan berkata perkara salah tetap salah dan sebagai individu berstatus suami atau isteri perlu tahu batas.
BACA: Netizen Kecam Harris Alif ‘Bersayang, ‘I Love You’ Dengan Wanita Lain Dalam Game
“Sebagai isteri, apa yang saya boleh katakan ialah saya bukan ‘enabler’ (penyokong atau membiarkan). Apa yang salah itu tetap salah dan apa yang betul tetap betul, jadi kena tahu batas sendiri,” katanya.
Sementara itu, Intan berkata dia sendiri tidak mengenali wanita berkenaan dan hanya mengetahui perkara tersebut selepas ia tular di media sosial.
“Tidak (tak kenal wanita itu) sebab saya tak main permainan video. Game apa pun saya tak tahu. Ya, selepas tular isu ini baru saya tahu.
“Saya tak adalah nak salahkan wanita itu atau Harris, tetapi mereka sendiri perlu tahu. Kalau mereka rasa apa yang mereka buat itu salah atau betul, itu adalah pandangan masing-masing. Mereka yang kenal diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, apabila ditanya adakah dia berbincang mengenai isu tersebut dengan Harris, Intan berkata isu seperti itu tidak akan berulang.
Tambahnya, dia tidak meletakkan sebarang syarat kepada suaminya namun menegaskan mengenai batas pergaulan.
“InsyaAllah, tidak akan terjadi lagi. Tak adalah (letak syarat untuk Harris). Macam saya, saya tahu batas saya dan dia tahu batas dia. Tak bolehlah nak terlalu mengawal, tapi diri sendiri kena tahu.
“Walaupun dalam permainan video atau pun berlakon, kita kena tahu batas. Kita sendiri kena ada kefahaman tentang hal itu,” katanya.
Sumber: Harian Metro




