Saling memaafi di dunia sebelum muflis di akhirat

DALAM duduk membelek buku-buku Hadis, terbaca semula Hadis yang menceritakan perihal orang muflis di akhirat. Jadi, saya ingin berkongsi sedikit nasihat yang boleh sama-sama dijadikan peringatan.

Jika kita berasa gembira apabila Allah S.W.T mengampuni dosa kita, maka maafkanlah kesalahan orang lain kepada kita. Hal ini kerana kemaafan dan memohon kemaafan di dunia jauh lebih mudah berbanding memohon keampunan di akhirat.

Advertisement

Sesungguhnya kita sangat takut nanti ada di kalangan kita yang termasuk dalam golongan muflis di akhirat. Abu Hurairah R.A meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bertanya:

أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟ قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ، فَقَالَ: إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ، وَصِيَامٍ، وَزَكَاةٍ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا، وَقَذَفَ هَذَا، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا، وَضَرَبَ هَذَا، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”

(Riwayat Muslim (2581))

Janganlah kita mengikut kehendak nafsu untuk tidak memaafkan orang lain, kerana itu puncak ego yang akan memusnahkan diri kita di akhirat. Sedangkan Allah S.W.T pun sedia mengampuni dosa hamba-hamba-Nya, janganlah kita menjadi makhluk yang lebih sombong daripada Tuhan.

Ampunilah kesalahan-kesalahan orang lain, mudah-mudahan dengan itu menjadi asbab Allah S.W.T mengampuni dosa-dosa kita.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/428369525516760/