lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak ada masalah bagi orang bukan Islam untuk berpuasa dari sudut zahir, tetapi puasa mereka tidak dikira sebagai ibadah syarie tanpa iman.
Umat Islam pula tidak sepatutnya bersikap sinis atau mempersoalkan niat mereka tanpa sebab yang munasabah, sebaliknya dianjurkan untuk berakhlak dengan hikmah, adil dan berlapang dada dalam masyarakat majmuk.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, isu orang bukan Islam yang cuba berpuasa dengan bersahur, menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa sehingga waktu Maghrib perlu dilihat daripada dua sudut iaitu hukum syarak dan sudut sosial kemasyarakatan.
Menurutnya, dari sudut hukum, puasa Ramadan adalah ibadah khusus yang difardukan ke atas orang Islam sahaja sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183.
“Kewajipan ini ditujukan secara jelas kepada orang beriman. Maka dari segi kewajipan dan ganjaran ibadah, puasa yang dilakukan oleh orang bukan Islam tidak dikira sebagai ibadah yang sah di sisi syarak kerana syarat asas penerimaan ibadah ialah Islam dan iman,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan dari sudut perbuatan zahir iaitu menahan diri daripada makan dan minum, tiada larangan untuk orang bukan Islam melakukannya dan ia tidak menjejaskan kesucian ibadah umat Islam.
“Malah dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, ada antara mereka yang berpuasa sebagai tanda hormat, solidariti atau untuk memahami pengalaman rakan Muslim.
“Selagi tidak disertai unsur mempermainkan agama atau mempersendakan syariat, ia tidak menjadi kesalahan dalam Islam,” katanya.
Beliau berkata, Islam sendiri mengiktiraf kewujudan kepelbagaian agama dalam masyarakat sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Kafirun ayat 6.
Selain itu, katanya, dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8, Allah SWT menjelaskan bahawa umat Islam tidak dilarang berbuat baik dan berlaku adil kepada golongan yang tidak memerangi mereka dalam urusan agama, sekali gus menjadi asas penting dalam membina hubungan harmoni antara agama.
Mengulas sama ada umat Islam ditegah daripada mempersoalkan niat non-Muslim yang berpuasa, beliau menegaskan bahawa niat adalah urusan hati yang hanya diketahui Allah SWT.
Beliau berkata, umat Islam tidak diperintahkan untuk menyelidik atau menghukum niat seseorang, lebih-lebih lagi dalam perkara yang zahirnya tidak membawa mudarat kepada agama.
Tambahnya, Islam juga melarang sikap berprasangka buruk dan mencari-cari kesalahan sebagaimana ditegaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang melarang umat Islam daripada berburuk sangka dan mengintip kesalahan orang lain.
“Mempersoalkan niat secara negatif tanpa asas yang jelas boleh termasuk dalam larangan ini.
“Dalam konteks dakwah dan hubungan antara agama, pendekatan yang lebih berhikmah adalah meraikan ruang dialog dan kefahaman.
“Jika seseorang bukan Islam berpuasa kerana ingin memahami Islam, itu boleh menjadi pintu dakwah yang sangat baik. Jika mereka berpuasa atas dasar kesihatan atau solidariti, ia tetap tidak menjejaskan akidah dan ibadah umat Islam
“Apa yang perlu dijaga ialah jangan sampai umat Islam merasakan ibadah mereka ‘ditiru’ lalu timbul rasa tidak selesa yang berlebihan.
“Ibadah puasa adalah syiar dan simbol ketaatan, bukan hak eksklusif yang terancam dengan perbuatan orang lain menahan diri daripada makan dan minum,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




