am@hmetro.com.my
BERULANG kali saya ‘diracuni’ rakan yang gemar melancong untuk mencuba salji ‘sehalus tepung’ di Niseko, Jepun.
Sebelum ini, memang saya dan isteri, Hanizah Hisham, gemar melancong khasnya ke negara Barat.
Kali ini, kami akhirnya ambil keputusan untuk ke Niseko yang terletak di barat daya Sapporo.
Hati berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki di resort ski ini, maklumlah negara kita adalah negara tropika dan dua budak kampung mahu bergambar berlatarbelakangkan salji.
Bayangan bermain ski dan ‘snowboard’ menuruni bukit curam sudah bermain di kepala sejak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menghampiri Lapangan Terbang New Chitose, segala impian ‘berkecai’ apabila menjengah keluar jendela pesawat, hanya kehijauan terdampar dan tiada langsung salji!
Hasrat untuk melihat ‘Japow’ terbantut dek pemanasan sejagat dan ketika berada di perkampungan Niseko, ramai pengunjung turut kecewa biarpun pada tahun sebelumnya kawasan ini diseliputi salji.
Kekecewaan kami bagaimanapun sedikit sebanyak terubat ketika berada Niseko Village apabila diperkenalkan dengan Ari Redzuan, Pengarah Serantau Hilton bagi Kualiti dan Pengalaman Tetamu, Jepun, Korea dan Mikronesia, yang juga warga Malaysia yang sudah hampir 20 tahun bekerja di negara matahari terbit ini.
Ramai tidak tahu, berada di perkampungan Niseko seluas 615 hektar di utara Jepun sebenarnya turut menjadi kebanggaan negara kerana ia milik sebuah syarikat konglomerat Malaysia.
Mengimbau sejarah, resort ini terletak bersebelahan Grand Hirafu yang pernah dijadikan lokasi Olimpik Musim Sejuk Sapporo pada 1972.
Segala khidmat bagi permainan ski ditutup sepanjang dua hari pertama kami di sana biarpun pada tahun sebelumnya, pada waktu yang sama salji sudah separas lutut.
Ada hikmah di sebalik ketiadaan salji ini apabila Ari mencadangkan kepada kami menyewa kereta untuk menjelajah sekitar Niseko.
Satu daripada lokasi menarik yang kami lawati adalah Taman Fukidashi. Ia terkenal dengan mata air semula jadi yang mengalir dari Gunung Yotei dengan suasananya umpama dalam drama romantis Jepun.
Paling tidak kami sangka, ketika berada di sana tiba-tiba salji melanda dengan lebat.
Alhamdulillah. Kalau sudah rezeki, ia tidak ke mana!
Hari ketiga, seluruh perkampungan itu dilitupi salji dan ia cukup untuk membuat dua budak kampung ini mengukir senyuman.
But sudah tersedia, lapisan baju sudah digantung, peralatan ski sudah ditempah sewa!
Kami juga terserempak dengan lepasan universiti Malaysia yang bekerja selama lima bulan di resort itu dengan mengendalikan kaunter pendaftaran kelas ski dan ‘snowboarding’.
Rupanya, Kerajaan Jepun membenarkan visa percutian sambil bekerja bagi tempoh setahun dan mereka ambil peluang itu.
Agak mencuit hati sebenarnya, ketika berurusan dengan mereka, kami berbahasa Inggeris, tetapi saya dapat mengecam dialek berlainan dengan orang tempatan lantas saya bertanya dan mereka akui warga Malaysia, terus kami berbahasa Malaysia!
Terletak di kaki Gunung Niseko Annupuri, resort ini menyediakan akses terus ke cerun ski bertaraf dunia jadi kami tidak perlu ke tempat lain untuk bermain salji atau ski.
Pihak resort juga ada menyediakan fasiliti menyewa peralatan ski dan bagi yang baru pertama kali ingin mencuba bermain ski seperti kami, kelas ski turut disediakan.
Memang benar, salji di Niseko ini sehalus tepung!
Hotel yang kami diami lengkap dengan segala fasiliti termasuk kolam air panas semula jadi atau dikenali sebagai ‘onsen’.
Menariknya, berdasarkan tradisi memasuki onsen di negara matahari terbit itu, pengunjung perlu masuk tanpa seurat benang.
Namun, pihak Hotel Green Leaf Niseko menyediakan kolam berasingan bagi pengunjung menikmati air panas dengan berpakaian baju mandi.
Tidak banyak kemudahan makanan halal di sekitar Niseko dan hanya terdapat sebuah restoran halal kira-kira 11 kilometer dari hotel.
Bagaimanapun, kami beruntung kerana seorang cef di resort ini iaitu Cef Ali berasal dari Turkiye.
Untuk memastikan kami tidak kelaparan, Cef Ali menyediakan masakan halal setiap pagi untuk kami.
Mungkin pihak hotel boleh menyediakan sudut makanan halal pada masa akan datang, apatah lagi hotel ini milik sebuah syarikat Malaysia dan sudah tentu ramai pengunjung dari Malaysia akan berkunjung.
Di sebalik pemandangan Gunung Yotei atau dikenali sebagai ‘Ezo Fuji’ (kerana menyerupai gunung Fuji), suasana di resort itu cukup tenang.
Betullah orang kata, apabila ke Jepun, kita pasti terpaut dengan budayanya.
Tak lekang dengan ‘ohayogozaimasu’ dan ‘arigatogozaimas’, dengan menundukkan sedikit kepala tanda hormat. Kebersihan juga amat mengagumkan.
Yang pasti, jika berkesempatan, kami pasti akan berkunjung lagi ke Jepun!
© New Straits Times Press (M) Bhd



