Saluran darah komposer Zul Mahat tersumbat, bakal jalani pembedahan

Saluran darah komposer Zul Mahat tersumbat, bakal jalani pembedahan

mohamadridzuan@hmetro.com.my 

Kuala Lumpur: Komposer Zul Mahat, 64, menjalani prosedur Angiogram membabitkan pengimejan salur darah untuk mengesan penyempitan atau penyumbatan darah dan ke jantung, semalam. 

Teman rapatnya, Rosnah Abdul Aziz berkata, doktor mendapati ada dua saluran darah tersumbat dan bertindak memasukkan stent bertujuan menstabilkan keadaannya. 

“Zul Mahat kemudian dibawa semula ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk berehat. Dia kelihatan berselera makan selepas proses ini. 

Kos sebanyak RM10,000 diselesaikan oleh anak saudaranya sementara menunggu pembedahan. 

“Mereka akan berbincang dengan doktor selepas ini mengenai kos pembedahan pula. Cuma doktor memaklumkan kemungkinan besar Zul Mahat akan ditidurkan sebelum pembedahan nanti. 

“Pada masa sama, kami juga memikirkan kos yang semakin bertambah perlu disediakan memandangkan dia sudah 19 hari menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya. 

Menurutnya, memandangkan kos yang semakin meningkat, pihaknya mengharapkan agar mana-mana pihak menghulurkan sumbangan bagi membantu mengurangkan kos rawatan yang ditanggung. 

Komposer lagu Sahabat nyanyian Fauziah Latiff dan Sesat Dalam Gelita nyanyian Spider ini dikejarkan ke PPUM pada penghujung Disember lalu selepas terjatuh semasa membuat rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya. 

Zul Mahat mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan. 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top