am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas dan rakyat yang menjayakan serta hadir pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Putrajaya serta di seluruh negara, hari ini.
Perdana Menteri menyifatkan semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia.
“Salut saya kepada seluruh petugas yang mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Daripada anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, para kontinjen, penggiat seni.
“….Warga media hinggalah anak-anak dan sukarelawan, setiap daripada kalian sudah memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan ini berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau juga menghargai kehadiran seluruh rakyat yang sanggup berkampung di Putrajaya sejak malam tadi demi bersama-sama memeriahkan sambutan ini.
“Inilah semangat kebersamaan yang kita dambakan, berhimpun dalam satu tekad, meraikan kemerdekaan dan memperkukuh perpaduan.
“Semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu dan saling melengkapi. Merdeka!” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertema ‘Malaysia MADANI, Kesejahteraan Dinikmati’ pagi tadi merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Pelbagai acara memeriahkan sambutan kali ini termasuk perarakan, pertunjukan udara dan persembahan Grafik Manusia membabitkan 1,500 pelajar sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd

